Pages

Monday, October 6, 2008

Calon Timbalan Presiden Umno Perlu Elak Daripada Menjadi Proksi

BATU PAHAT, 5 Okt (Bernama) -- Pemimpin-pemimpin yang berhasrat bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti itu Mac tahun depan perlu mengelak daripada menjadi proksi kepada mana-mana pihak, kata Ketua Penerangan Umno Johor Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, jika gejala pemimpin menjadi proksi itu berlaku pada pemilihan parti tahun depan, ia adalah sesuatu yang tidak baik kepada Umno.

"Mereka yang menawarkan diri (untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno) itu mesti mengelak daripada memiliki sifat-sifat proksi kerana ia adalah sesuatu yang tidak baik kepada Umno."

"Bersifat proksi itu tidak baik kepada Umno dalam usaha untuk memastikan parti kita dipimpin oleh mereka yang mempunyai strategi dan idea-idea yang baru," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mohd Puad yang juga Ketua Umno Bahagian Batu Pahat dan anggota Parlimen Batu Pahat melihat gandingan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai kombinasi Presiden dan Timbalan Presiden Umno yang terbaik untuk parti serta negara.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas hasrat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam untuk bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Umno.

Selain kedua-dua pemimpin terbabit, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib serta Muhyiddin dijangka menawarkan diri mereka bagi jawatan nombor dua dalam Umno itu.

Mohd Puad berkata, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden itu perlu diisi oleh pemimpin yang mempunyai ketokohan kepimpinan yang tinggi, selain memiliki pelbagai strategi dan idea-idea untuk kepentingan Umno serta negara.

"Mereka (Presiden dan Timbalan Presiden) perlu mempunyai keperibadian kuat dan perunding, yang baik, supaya mereka boleh menjadi kekuatan untuk menjadikan Umno itu lebih dipercayai," katanya.

Menurutnya, kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu juga perlu berhadapan dengan isu-isu ekonomi dan antarabangsa, antaranya usaha-usaha untuk menarik pelaburan asing ke negara ini.

"Ketika ini kita melihat gandingan Najib dan Muhyiddin sebagai yang terbaik kepada Umno di dalam kita mempersiapkan diri untuk menghadapi pilihan raya umum selepas ini," katanya.

Beliau turut menasihatkan pemimpin-pemimpin Umno jangan hanya mencari peluang dalam usaha mereka untuk merebut jawatan Timbalan Presiden Umno itu berikutan kekosongannya ekoran pelan peralihan kuasa di antara Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Najib.

"Sepatutnya mereka (pemimpin yang telah menyuarakan hasrat bertanding Timbalan Presiden) itu perlu mengukur diri mereka dan menyoal sama ada mereka berkemampuan atau tidak," katanya.

Beliau turut mempersoalkan beberapa pemimpin yang menawarkan diri bertanding jawatan nombor dua parti kerana "tidak bersuara" sebelum ini tentang isu peralihan kuasa serta perlunya suara akar umbi diberikan perhatian oleh pucuk pimpinan parti.

Ditanya mengenai hala tujunya pada pemilihan parti Mac tahun depan, Mohd Puad berkata, pendiriannya masih sama iaitu beliau akan bertanding untuk merebut salah satu kerusi Majlis Tertinggi Umno.

No comments:

Posting Terkini