Pages

Sunday, October 5, 2008

Anak Kapal Pada Mulanya Lambai Tangan Terhadap Kapal Lanun Kerana Sangka Nelayan

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Kira-kira 18 orang lanun bersama tiga buah bot laju mengejar kapal MT Bunga Melati 2 dan melepaskan beberapa tembakan rambang sebelum menawan keseluruhan kapal milik MISC Berhad itu dalam kejadian pada 19 Ogos lepas.

Kejadian mendebarkan itu diceritakan oleh Pegawai Kedua MT Bunga Melati 2 Muzaihan Abd Rani yang turut menjadi salah seorang yang ditawan lanun itu sebelum dibebaskan pada 29 Sept lepas.

Beliau berkata terdahulu sebelum kejadian, dua anak kapal MT Bunga Melati Dua yang sedang "berjogging" di kawasan belakang kapal melambai ke arah tiga bot tersebut kerana menyangka ia adalah bot nelayan.

"Mereka ternampak ketiga-tiga bot itu sedang menuju ke arah kapal tetapi tidak menyangka ia bot lanun. Lambaian mereka kemudiannya dibalas dengan kira-kira empat das tembakan.

"Saya yang ketika itu baru sahaja hendak menonton video di bilik tayangan mendapat panggilan dan bila bergegas keluar, terdengar pekikan "pirates" dan saya nampak lanun-lanun itu sedang cuba memanjat di setiap penjuru kapal," katanya kepada pemberita di pejabat MISC di sini, Sabtu.

Kapal milik MISC, MT Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal -- 29 warga Malaysia dan selebihnya warga Filipina, dirampas oleh lanun di Teluk Aden di perairan Somalia dan Yemen pada 19 Ogos, dan 10 hari kemudian sebuah lagi kapal milik MISC, MT Bunga Melati 5, dengan 36 anak kapal warga Malaysia dan lima warga Filipina, dirampas di perairan yang sama.

Pada 27 Sept lalu, kapal MT Melati 5 dibebaskan selepas MISC membayar sejumlah wang tebusan, dan dua hari kemudian kapal MT Melati Bunga 2 pula dibebaskan.

Muzaihan berkata kapten kapal Bunga Melati 2 ketika itu cuba membuat pergerakan "zig zag" dengan harapan lanun-lanun itu akan terjatuh namun mereka tetap berjaya memanjat kapal tersebut.

Katanya beberapa anak kapal termasuk beliau sendiri melarikan diri ke dalam satu bilik lalu menguncinya diri, tetapi lanun-lanun itu terus mengetuk cermin bilik itu bertalu-talu mengarahkan mereka membuka pintu.

"Masa itu ada beberapa anak kapal di luar. Lanun suruh kapten berhenti tetapi walaupun enjin dihentikan kapal tetap lagi bergerak. Lanun yang tidak berpuas hati menembak rambang di udara yang terkena siling, dan satu lagi terkena pada seorang anak kapal warga Filipina.

"Kami yang ketakutan terus menyerah diri. Lanun itu kemudiannya mengarahkan anak kapal menolong warga Filipina itu kerana katanya mereka tidak berniat hendak membunuhnya. Saya balut luka, tetapi dia terus kritikal dan kemudiannya meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata dengan izin lanun, mereka menyimpan mayat anak kapal warga Filipina itu di bilik sejuk dalam kapal itu.

"Selama berada dalam kapal tersebut, saya dapat baca pergerakan lanun dan taktik mereka untuk mendapatkan wang tebusan, mereka akan ugut anak kapal, ugut nak bunuh, ugut kata ada periuk api atas kapal, nak rosakkan kapal, semua ugutan ini sebenarnya hanya mainan mereka bagi tujuan menakutkan," katanya.

Beliau berkata anak-anak kapal yang majoritinya beragama Islam turut dibenarkan oleh lanun untuk menjalani ibadah puasa dan bersolat Terawih.

Bagi Yusof A. Hamid, 51, ketua kelasi MT Bunga Melati 5 yang berasal dari Johor dan sudah berkhidmat selama 32 tahun, beliau tidak akan serik bekerja sebagai anak kapal walaupun baru melalui peristiwa hitam yang pasti tidak akan dapat dilupakannya.

"Saya tetap akan bekerja dengan MISC dan saya tidak akan sesekali serik lagipun syarikat melayan kami baik dan bersusah payah mencari peluang untuk membebaskan kami tanpa berlaku pertumpahan darah," katanya.

Sementara itu di KOTA BAHARU, seorang anak kapal MT Bunga Melati 2, Baharudin Mohamed, 35, berkata kumpulan lanun itu sering mempamerkan sikap ganas dan mengacukan senjata api kepada mereka, walaupun berjanji tidak mengapa-apakan sesama Muslim.

Beliau berkata mereka melakukan perbuatan yang menakutkan itu apabila arahan mereka tidak dipatuhi, dan pada masa yang sama adakalanya arahan mereka sukar difahami.

"Mereka beritahu tidak akan apa-apakan orang Muslim dan akan membebaskan kami apabila tiba masanya," katanya ketika ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada syarikat (MISC), kerajaan Malaysia dan Tentera Laut di Raja Malaysia (TLDM) yang banyak membantu dalam usaha membebaskan kami," tambahnya.

Menurutnya sepanjang tempoh itu beliau dapat menunaikan solat sunat Terawih dengan baik bersama rakan-rakan seagama, di samping menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Baharudin seterusnya berkata pengalaman itu tidak melemahkan semangatnya untuk terus berkhidmat dengan MISC.

No comments:

Posting Terkini