Pages

Monday, October 27, 2008

AirAsia Terbang Ke India Mulai 1 Disember


KUALA LUMPUR, 27 Okt-- AirAsia Bhd akan memulakan perkhidmatan ke India mulai 1 Disember menerusi penerbangan sulungnya ke Thiruchi di negeri Tamilnadu di selatan India.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Datuk Seri Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan itu menjangkakan pertumbuhan besar sektor pelancongan India yang akan menyumbang kepada perkhidmatannya dilaluan yang baru itu.

"Saya menjangkakan angka trafik yang sangat tinggi bagi penerbangan ini (mungkin) kira-kira 90 peratus mulai minggu pertama, yang mungkin merupakan laluan paling padat yang pernah kami capai,' katanya pada taklimat media di sini, Isnin.

Beliau berkata terdapat potensi besar untuk syarikat itu memandangkan Thiruchi ialah kawasan keempat terbesar di Tamilnadu dengan 1.6 juta penduduk.

Thiruchi yang terkenal kerana seni bina fusion dan monumennya, merupakan destinasi pertama syarikat penerbangan tambang rendah itu sebelum ia meluaskan perkhidmatan ke sembilan lokasi lain di India dalam tempph 18 bulan yang akan datang.

Laluan lain termasuk Madras, Cochin, Madurai dan Kovaibutore manakala bagi AirAsia X, mereka mengenal pasti New Delhi, Mumbai dan Hydrabad.

Bagi menampung perkhidmatan ke laluan baru berkenaan, syarikat penerbangan tambang rendah itu akan membelanjakan kira-kira RM5 juta hingga RM7 juta untuk infrastruktur baru termasuk membuka pejabat di Thiruchi, kata Tony.

Penerbangan harian itu kini boleh ditempah bagi penerbangan tengah malam Rabu, dengan tawaran harga mulai RM49 manakala harga tambang purata ialah RM200 bagi perjalanan sehala.

Bagi India, AirAsia akan menggunakan 10 pesawat A320.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini