Pages

Wednesday, September 24, 2008

YB Teresa Kok, ISA Dan Anjing.

Wao, saya sekarang jadi sangat famous di Utusan Malaysia. Surat khabar itu letak gambar saya dan nama saya di muka surat pertama hampir tiap-tiap hari.

Semalam surat khabar itu menceritakan saya “putar-belitkan isu”. Ia memaparkan kesilapan percakapan saya pada hari saya dibebaskan oleh ISA pada 19 September 2008 di mana saya dikatakan berkata makanan di pusat penahanan agaknya sama dengan makanan anjing, manakala pada hari saya berada di sidang akhbar bersama dengan YB Murugiah saya berubah berkata “slightly better than dog food”.

Haiyah, samada saya kata makanan di pusat penahanan sama seperti makanan anjing ataupun “sedikit lebih baik daripada makanan anjing”, maksudnya sama juga, iaitu makanan di dalam pusat penahanan ISA itu teruk sekali lah.

Lagi tentang Kerajaan Rakyat

Saya memang rasa nak ketawa bila saya lihat cara Utusan Malaysia menulis laporan-laporan tersebut. Akhbar itu bukan sahaja menyiarkan laporan itu di muka pertama, tetapi isu “makanan anjing” disiarkan dalam dua muka surat besar di dalamnya.

Hi hi, lebih Utusan Malaysia menyiarkan isu “makanan anjing”, lebih orang ramai akan faham bahawa makanan di dalam pusat penahanan ISA itu teruk rasanya. Ini publisiti yang baik sekali. :-)) Semoga dengan publisiti yang begitu besar ini, kerajaan akan menambah-baikkan makanan kepada tahanan ISA yang berada dalam kurungan persendirian itu. Tahanan ISA yang akan datang haruslah berterima kasih kepada Utusan Malaysia dan saya lah!! :-))

Mungkin penyunting Utusan Malaysia tidak tahu, lebih mereka memberi liputan yang negatif terhadap satu isu, lebih orang ramai ingin tahu apa yang sebenarnya berlaku. Itulah sebabnya orang yang membaca blog saya bertambah banyak. Terima kasih kepada Utusan Malaysia.

Hari ini, akhbar itu menuduhkan saya bahawa saya pernah membuat dakwaan yang tidak benar di Parlimen, jadi isu wanita berbogel di pusat tahanan polis dalam VCD itu dibangkitkan sekali lagi. Kedua-dua kawan baik UMNO saya di Parlimen, Bung Moktar dan Mohamad Aziz pun sama-sama menuduh saya pernah menyatakan warga dalam VCD itu ialah warga China manakala dia seorang wanita tempatan. Selain itu, beberapa NGO menggesa Utusan Malaysia saman Teresa Kok.

Tengoklah mereka, orang UMNO memang macam ini, saya tidak pernah berkata bahawa wanita berbogel dalam VCD adalah wanita warga China, tetapi beberapa akhbar yang pernah membuat kesilapan, dan salah satu akhbar yang membuat kesilapan ialah Utusan Malaysia. Tetapi kesalnya China Press yang dikenakan hukuman oleh Kementerian Dalam Negeri pada akhirnya.

Hari ini dalam sidang akhbar selepas mesyuarat exco Selangor, saya ditanya oleh seorang pemberita tentang NGO yang ingin menyaman saya itu, jawapan saya ialah, minta mereka yang ingin menyaman saya, saman lah!! ISA pun saya sudah pernah masuk, takut apa lagi saman daripada Utusan Malaysia?? :-))

Liputan yang negatif daripada Utusan Malaysia terhadap saya sebenarnya membayangkan ”standard” sesebuah akhbar. Banyak surat khabar tempatan telahpun menyatakan pendirian mereka yang menentang ISA, hanya Utusan Malaysia yang cuba menggunakan “makanan anjing” untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada kekejaman penahanan ISA kepada makanan di pusat penahanan, dan menentang saya kuat-kuat.

Inilah Utusan Malaysia, “Penyebaran Fikiran Rakyat”, suratkhabar anda!! :-))
YB Teresa Kok

No comments:

Posting Terkini