Pages

Saturday, March 15, 2014

Khairy Jamaluddin tiada niat hina Wan Azizah



KAJANG - Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak berniat untuk menghina ketika menyebut perkataan 'boneka' semasa menggambarkan mengenai calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
    
Menteri Belia dan Sukan itu berkata kenyataan yang dibuatnya pada Isnin lepas itu tidak mempunyai maksud negatif, malah lebih kepada gambaran bahawa Presiden PKR itu hanya sebagai calon saat akhir selepas ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh bertanding.
    
"Ingin ditegaskan di sini saya tiada niat menghina, cuma saya kata dia (Wan Azizah) pengganti saat akhir kepada Anwar Ibrahim...dan memang betul pun, itu sahaja saya nak sampaikan bukannya nak menghina," katanya ketika ditemui pemberita selepas program santai sarapan pagi bersama pengundi di Sungai Jelok di sini, hari ini.
    

Beliau mengulas laporan portal berita yang memetik ucapannya ketika melancarkan jentera Pemuda BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri(DUN) Kajang Isnin lepas, antara lain menyebut Wan Azizah hanyalah 'boneka' dalan rancangan Anwar menjadi Menteri Besar Selangor.
    
Bagaimanapun, kenyataan Khairy itu sering diulang di dalam siri ceramah oleh pemimpin pakatan pembangkang, seolah-olah Ketua Pemuda Umno itu tidak tahu menghormati Wan Azizah sebagai pemimpin yang lebih tua.
    
Dalam perkembangan sama, Khairy berkata jentera Pemuda BN kini giat melaksanakan pelbagai program bagi memenangi sokongan 14,000 pengundi muda daripada keseluruhan 39,278 pengundi yang layak mengundi pada 23 Mac ini.
    
Pilihan Raya Kecil DUN Kajang menyaksikan calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun ditentang Dr Wan Azizah dari PKR. - Bernama

1 comment:

lijitra said...

terlajak perahu tak pa la kj ooi tp kalau dah terlajak kata??????

Posting Terkini