Pages

Sunday, August 28, 2011

12 terkorban apabila feri sesak karam


KOLAKA (Indonesia): Sebuah feri yang sesak dengan penumpang karam di timur Indonesia awal semalam, menyebabkan 12 maut, sedang pasukan pencari dan penyelamat terus meronda kawasan perairan yang berombak itu.

Sejumlah 93 orang, termasuk kapten feri berkenaan, telah diselamatkan tetapi para pegawai khuatir masih ada penumpang yang terperangkap dalam feri yang tenggelam itu, kata ketua polis Sulawesi, Brigedier Jeneral (BG) Sigit Sudarmanto.

Feri 'Windu Karsa', yang sedang dalam pelayaran dari bandar Bajoe ke Kolaka, karam selepas tengah malam kelmarin di kawasan perairan di selatan Sulawesi ketika kebanyakan penumpangnya sedang tidur.

Mereka yang diselamatkan memberitahu para penyiasat bahawa kapal itu karam selang beberapa jam selepas satu kebocoran ditemui di bahagian belakangnya.


Tidak jelas berapa ramai orang yang menaiki kapal tersebut.

Satu senarai menunjukkan hanya ada 57 penumpang dan 20 kakitangan yang menaiki feri itu, menurut BG Sudarmanto, tetapi jumlah pada senarai biasanya berbeza daripada jumlah sebenar kerana ada tiket yang dijual di atas kapal kepada penumpang dan mereka biasanya tidak didaftar.

Sebahagian besar penumpang sedang menuju ke kampung halaman masing-masing untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri.

Pegawai penyelamat, Encik Budi Rahardjo, berkata sejauh ini 12 mayat telah ditemui, sedang pasukan pencari dan penyelamat meneruskan usaha pencarian mereka semalam. -- AP.


No comments:

Posting Terkini