LONDON: Akhbar tabloid The Sun semalam menyiarkan gambar Putera Harry berbogel di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Ia penerbitan pertama di Britain yang tidak mematuhi permintaan peguam keluarga diraja supaya gambar-gambar itu tidak disiarkan.
Kelmarin, akhbar-akhbar di Britain tidak menyiarkan gambar cucu Ratu Elizabeth II itu berbogel dengan seorang wanita semasa bercuti di Las Vegas menyusuli permintaan daripada Istana St James, kediaman rasmi Putera Harry.
Permintaan itu dibuat melalui Suruhanjaya Aduan Akhbar supaya kehidupan peribadi Putera Harry dihormati.
Namun, hampir separuh muka depan The Sun semalam menunjukkan gambar bogel Putera Harry yang menutup kemaluannya dengan tangan sedang seorang wanita bogel berdiri di belakangnya.
Gambar itu dipercayai diambil semasa mereka dalam bilik suite sebuah resort di Las Vegas minggu lalu.
Menurut The Sun, sebuah penerbitan di bawah syarikat News Corp milik hartawan Rupert Murdoch, berjuta orang di seluruh dunia sudah pun melihat gambar-gambar itu dan pembacanya berhak melihatnya.
Editor pengurusan The Sun, Encik David Dinsmore, berkata dalam video yang dimuat naik ke laman akhbar itu bahawa keputusan menyiarkan gambar itu tidak diambil dengan mudah, tetapi isu penerbitan gambar itu telah menjadi isu kebebasan akhbar.
"Ini mengenai situasi tidak munasabah apabila sekeping gambar dapat dilihat berjuta orang di seluruh dunia melalui Internet tetapi ia tidak dapat dilihat dalam akhbar kegemaran negara ini yang dibaca lapan juta orang setiap hari," katanya.
Dua gambar Putera Harry, yang mempunyai reputasi suka berpesta, dalam keadaan bogel disiarkan kali pertama di laman gosip selebriti TMZ Rabu lalu.
Penyiaran gambar-gambar itu menimbulkan dilema etika bagi para editor Britain, yang baru saja berdepan dengan perbicaraan mengenai tatalaku akhbar.
Edisi The Sun kelmarin menyiarkan gambar yang mempersenda gambar bogel Putera Harry dengan menggunakan kakitangannya beraksi seperti pewaris ketiga takhta kerajaan Britain itu dan wanita dalam gambar itu, yang tidak dinamakan. - Reuters.
No comments:
Post a Comment