Pages

Thursday, April 26, 2012

Jawatan mufti akan dinaik taraf setara Exco


BANGI: Jawatan mufti di negeri-negeri Malaysia akan dinaikkan taraf setara dengan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan menerima faedah yang sama, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau dipetik akhbar Berita Harian Malaysia (BHM) semalam sebagai berkata bahawa perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) di Putrajaya, kelmarin, yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan turut dihadiri menterimenteri besar, exco agama dan Majlis Agama Islam negeri seluruh negara itu.

'Setaraf ini misalnya daripada segi taraf, protokol, penggajian, elaun serta kemudahan yang diguna pakai oleh exco, kami mengangkat taraf mereka ini agar pengurusan pentadbiran agama dilihat dengan baik dan mempunyai penghormatan tinggi.


'Keputusan ini tidak akan membabitkan pertindihan tugas dengan exco agama kerana exco hanya bertugas memantau aspek pentadbiran dan aktiviti keagamaan, manakala bidang tugas mufti menjurus kepada penggunaan fatwa, hukum-hakam, tauliah pengajaran dan aspek keagamaan yang lebih mendalam,' kata beliau selepas sesi dialog bersama pelajar Diploma Pentadbiran Islam anjuran Institut Latihan Islam Malaysia di sini, kelmarin.

Datuk Seri Jamil Khir berkata proses naik taraf jawatan itu akan diuruskan di peringkat negeri dan akan dilaksanakan sebaik mendapat perkenan Sultan dan Yang Dipertua Negeri masing-masing.

Mesyuarat itu juga, jelas beliau, bersetuju menyelaraskan gred perjawatan timbalan mufti bagi memastikan kesinambungan jawatan itu tidak terputus apabila mahu dilantik sebagai mufti.

Datuk Seri Jamil Khir berkata urusan berkaitan kenaikan taraf itu, sekiranya membabitkan Jabatan Perkhidmatan Awam, akan dilakukan secara bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

No comments:

Posting Terkini