Pages

Saturday, December 18, 2010

Majlis penasihat akan ditubuh untuk Perbadanan Pembangunan Kampung Baru

pixgal1KUALA LUMPUR: Satu Majlis Penasihat 15 anggota akan ditubuhkan khusus sebagai penasihat kepada Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB), kata Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) Datuk Ahmad Phesal Talib.
Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata, anggota Majlis itu nanti terdiri daripada seorang pengerusi, dan ahli-ahli Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru, yang mewakili pemilik tanah Kampung Baru.

Beliau berkata PPKB diwujudkan di bawah Seksyen 5(1) Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu 2010 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 14 Disember lepas.
Menurutnya perbadanan itu berfungsi melaksanakan dasar, arahan dan strategi berhubung dengan pembangunan di dalam kawasan Kampung Bharu menurut Pelan Struktur dan Pelan Tempatan yang diperuntukkan di bawah Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata 16 orang yang dicadang menganggotai PKKB nanti terdiri daripada seorang pengerusi yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, empat orang wakil kerajaan persekutuan dan dua orang wakil pemilik tanah kampung, seorang wakil kerajaan negeri yang dinamakan oleh Raja Negeri Selangor, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Bandar Kuala Lumpur atau wakil, dan enam anggota lain yang mempunyai profesionalisme dalam perkara berhubungan dengan pembangunan kampung dan apa-apa yang sesuai.
Katanya beberapa siri penerangan juga akan diadakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan kerjasama Lembaga Pentadbiran MAS, khusus untuk memberi penerangan kepada pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.
"Siri penerangan itu membabitkan ketujuh-tujuh kampung di dalam Kampung Bharu termasuk Kampung Hujung Pasir dan Kampung Periuk yang sudah diadakan pada 14 Dis lepas," katanya dan menambah semua pemilik dan pewaris tanah di kampung-kampung berkenaan diharap dapat hadir bagi membolehkan penerangan lengkap disampaikan kepada mereka.
Beliau berkata maklumat lanjut, soalan dan sebarang maklumbalas boleh dikemukakan kepada kementerian dengan menghantar faks ke nombor 03-88891411, atau lawati laman web rasmi kementerian di www.kwp.gov.my/kampongbharu atau laman sosial Facebook, menteri terbabit Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. -Bernama

No comments:

Posting Terkini