PEKAN 12 Feb. — Dua penyanyi popular tanah air, David Arumugam dan Khadijah Ibrahim, hari ini dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) membawa gelaran Datuk sempena ulang tahun hari keputeraan ke-78 Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah pada 24 Okt lepas.
David atau nama sebenarnya Thiagarajan K.R. Arumugam dan Khadijah adalah antara 66 penerima darjah DIMP yang menerima anugerah masing-masing daripada baginda dalam satu istiadat di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini.
David merupakan penyanyi utama kumpulan Alleycats manakala Khadijah berkecimpung lebih 30 tahun dalam industri hiburan tanah air.
Ketika ditemui, David berkata anugerah itu merupakan satu penghargaan kepada kumpulan Alleycats yang telah berkecimpung dalam industri hiburan tanah air selama hampir 40 tahun.
“Anugerah ini adalah untuk para peminat kumpulan Alleycats, terima kasih,” kata David.
Mendahului senarai penerima pada istiadat hari ini ialah tiga menteri kabinet iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kerja Raya Datuk Mohd Zin Mohamed dan Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai yang masing-masing menerima Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah peringkat pertama, Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP), yang membawa gelaran “Datuk Seri”. Yang turut menerima SSAP ialah Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dan Pengarah Urusan Malaysia Steel Works Bhd, Tai Hean Leng.
Pada istiadat itu juga, tiga orang menerima darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) dan lapan penerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk, manakala empat orang menerima Darjah Setia Ahmad Shah (SAP), 13 menerima Darjah Setia Mahkota Pahang (SMP), sembilan menerima Darjah Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP), tujuh menerima Darjah Ahli Mahkota Pahang (AMP), tujuh lagi menerima Pingat Khidmat Cemerlang (PKC), 14 menerima Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) dan 23 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).
— BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment