Pages

Friday, November 16, 2012

Xi rasmi ketuai barisan baru Parti Komunis China


Xi rasmi ketuai barisan baru Parti Komunis China
BEIJING: Parti Komunis China semalam secara rasmi mengumumkan barisan baru pucuk kepimpinan, yang diketuai oleh Encik Xi Jinping, bagi menerajui negara itu bagi tempoh sedekad mendatang.
Pelantikan Encik Xi menerajui badan paling berkuasa, Jawatankuasa Tetap Politburo, itu disahkan selepas parti itu mengadakan kongres yang baru selesai kelmarin.
Sebagai Setiausaha Agung parti itu, Encik Xi yang mengambil alih jawatan itu daripada Presiden Hu Jintao, telah berikrar akan membasmi rasuah dan membina kehidupan lebih baik bagi 1.3 bilion rakyat China.
Encik Xi, 59 tahun, merupakan anak lelaki mantan Naib Perdana Menteri China, mendiang Xi Zhongxun.
Beliau telah berkhidmat sebagai Naib Presiden sejak 2008.

Encik Xi akan menggantikan Encik Hu sebagai Presiden pada Mac tahun depan.
Encik Xi turut dinamakan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Tentera menggantikan Encik Hu.
Ini satu pembaharuan kerana sebelum ini pemimpin China yang berundur biasanya akan mengekalkan jawatan dalam pasukan tentera bagi memastikan beliau masih boleh mempengaruhi penggantinya.
"Kami akan melakukan semua yang termampu bagi memenuhi kepercayaan anda dan mencapai misi kami," kata Encik Xi ketika berucap di Dewan Besar Rakyat, di sini.
Berdiri di sebelah beliau ialah Naib Perdana Menteri, Encik Li Keqiang, yang bakal mengambil alih jawatan Perdana Menteri bagi menggantikan Encik Wen Jiabao pada Mac tahun depan.
Anggota lain dalam Jawatankuasa Tetap Politburo itu ialah Naib Perdana Menteri, Encik Zhang Dejiang; setiausaha parti di Shanghai, Encik Yu Zhengsheng; setiausaha parti di Tianjin, Encik Zhang Gaoli; ketua propaganda, Encik Liu Yunshan, yang telah dilantik semalam bagi mengetuai urus setia parti dan Naib Perdana Menteri Wang Qishan, yang bakal mengetuai panel pemantau parti.
"Terdapat banyak masalah genting dalam parti yang harus dihuraikan, terutamanya rasuah. Kita harus melakukan yang termampu bagi menghuraikan masalah ini. Seluruh anggota parti harus berjaga-jaga," kata Encik Xi.
Bercakap kepada wartawan, Encik Xi mengimbas kembali tamadun China dan perjuangan negara itu untuk muncul sebagai ekonomi kedua terbesar di dunia.
"Tanggungjawab kami sekarang ialah menggembleng dan memimpin parti dan rakyat daripada semua etnik di China dalam peralihan bersejarah ini dan membuat usaha berterusan untuk mencapai pembaharuan besar," kata Encik Xi.
Pucuk pimpinan baru menghadapi cabaran getir termasuk pertumbuhan semakin perlahan ekonomi.
Menurut Encik Xi, antara matlamat yang ingin dicapai ialah bagi memberikan pendidikan lebih baik, pendapatan lebih tinggi, perlindungan sosial lebih luas dan perlindungan sekitaran kepada rakyat.
"Bagi memenuhi harapan mereka bagi menjalani kehidupan lebih gembira merupakan misi kami," tambah Encik Xi. - AP, AFP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini