PETALING JAYA: Sumber PKR mendakwa wujudnya konspirasi yang cuba digerakkan parti itu untuk mengambil tindakan ke atas ahli parti tertentu termasuk calon Ketua AMK, Badrul Hisham Shahrin.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Chegu Bard kalah kepada Shamsul Iskandar Md Akin dan menolak semua lantikan semula oleh parti kerana mendakwa banyak yang tidak betul dalam pemilihan parti.
Menurutnya, konspirasi itu cuba digerakkan oleh beberapa pihak tertentu yang melibatkan calon-calon yang memenangi jawatan yang ditandingi ketika pemilihan dan juga pihak dalaman ibu pejabat parti itu sendiri.
Beliau yang enggan indentitinya didedahkan berikutan bimbangkan keselamatan dirinya terancam selain akan dipandang serong oleh pihak tertentu dalam parti, antara lain intipati utama konspirasi yang cuba diadakan tersebut bertujuan mengheret Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin kepada tindakan salah laku ketika pemilihan yang berakhir bulan lalu.
"Apa yang saya tahu setakat ini, yang pastinya Chegu Bard (Badrul Hisham) antara individu yang dimasukkan dalam rancangan ini. Mungkin juga ada pihak lain yang dimasukkan, yang ’sekepala’ dengan Chegu Bard," ujar beliau.
Menurutnya lagi, walaupun perancangan terhadap konspirasi itu telah bermula semenjak sebelum kongres parti itu diadakan lagi namun ketika itu rancangan tersebut cuma dirancang sahaja, belum dijalankan.
"Sebenarnya sebelum kongres lagi dah ada rancangan ini. Tetapi mungkin kerana strategi, mereka menunggu di masa yang mereka fikirkan sesuai. Cuma semenjak kebelakangan ini pihak-pihak terlibat nampak semacam semakin beriya-iya untuk mengenakan Chegu Bard .
"Mungkin kerana tindakan-tindakan Chegu Bard kebelakangan ini yang semakin kerap mengkritik parti, lebih-lebih lagi tidak mengiktiraf keputusan pemilihan sekaligus mendorong mereka untuk meneruskan rancangan konspirsi ini," kata beliau.
Beliau juga percaya antara sebab utama konspirasi untuk memerangkap Chegu Bard dibuat disebabkan tindak-tanduk dan kelantangan kritikan yang dibuat beliau terhadap parti dilihat mampu menjejaskan imej dan kedudukan pemimpin tertentu selain merosakkan imej parti.
"Jika kita melakukan semua siasatan dengan adil, kemungkinan pemilihan terpaksa diadakan semula dan parti tentunya tidak mampu sekali lagi berhadapan dengan situasi seperti ini.
"Jadi untuk mengelakkannya, mulut-mulut pihak yang lantang mengkritik dan menuntut siasatan telus mesti ditutup. Tapi nampaknya Chegu Bard tidak mudah didiamkan begitu sahaja.
"Jadi mereka kena membuat sesuatu untuk mengaitkan sama Chegu Bard dengan salah laku ketika pemilihan supaya dia berhenti dari terus mendesak siasatan telus.
Sumber tersebut juga tidak menolak kemungkinan ada mangsa yang terpaksa ‘dikambing hitamkan’ untuk menyelamatkan pihak lain sekiranya parti mengambil langkah untuk mengumumkan hasil siasatan mereka.
"Jika hasil siasatan diumumkan, besar kemungkinan ada yang dijadikan ‘kambing hitam’ untuk membuktikan apa yang didakwa kononnya ketelusan parti, sebaliknya adalah untuk menyelamatkan pihak tertentu sahaja," ujarnya lagi.
Beliau juga merupakan sumber yang sama ketika pemilihan masih berlangsung dengan mendedahkan beberapa aduan rasmi yang diterima Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).
Ketika itu sumber tersebut turut mendedahkan terdapat anggota jawatankuasa tersebut yang hanya berusaha menafikan aduan-aduan yang diterima tanpa menjalankan siasatan yang konkrit demi melindungi calon tertentu ketika pemilihan.
Sementara itu ketika diminta memberi komen tentang perkara ini, Chegu Bard memberitahu beliau tidak mendengar apa-apa tentang perkara ini namun berharap ianya tidak benar dan tidak berlaku dalam PKR.
"Saya juga ada ramai teman dalam ibu pejabat parti tetapi mereka tidak pula menceritakan tentang konspirasi ini. Walaupun tak mustahil, saya harap ianya tidak benar dan tidak dalam parti ini.
"Memang saya tidak tahu dan kalau benar sekalipun saya tidak peduli kerana apa yang saya lakukan kerana sayangkan parti dan negara. Saya akan terus mengambil tanggungjawab untuk mendesak agar PKR punya keberanian untuk melaksanakan keadilan, ketelusan dalam dan luar parti sebagai persediaan ke Putra Jaya," kata beliau.
Sebelum ini, ketika Kongres PKR berlangsung, perwakilan Pahang, Ahmad Nizam Hamid ketika membahaskan usul pemberdayaan demokrasi telah menimbulkan isu ‘kumpulan berempat’ yang dikaitkan dengan agenda ‘pembersihan’ dalam parti.
Menurut beliau, kewujudan kumpulan ini dalam parti akan merosakkan dan membawa keburukkan kepada PKR dengan menggunakan slogan pembersihan yang bersandarkan emosi ‘cengeng’ dan bukan berdasarkan hujah intelektual.
No comments:
Post a Comment