Pages

Thursday, August 12, 2010

Dihukum jel, rotan kerana tinggal di sini secara haram

Singapura ~ PERMIT kerjanya telah lama dibatalkan - pada 31 Januari 2007 - tetapi Liu Xian Hua terus menetap di sini secara haram.

Sangkanya tiada sesiapa tahu dan pihak berkuasa sukar mengesan pergerakannya itu.

Namun, tembelang dan penyamaran warga China berusia 33 tahun itu sejak lebih tiga tahun lalu akhirnya pecah apabila dia cuba memasuki kasino Marina Bay Sands Sabtu lalu.

Silapnya, dia menggunakan permit kerja orang lain untuk berjudi di kasino itu. Dia ditahan dan diserahkan kepada polis.

Semalam, Liu mengaku salah dan dihukum penjara lima bulan dan rotan empat kali.

Mahkamah diberitahu bahawa Liu, bekas pekerja binaan, menunjukkan permit kerja milik Encik Liu Changyong kepada pengawal keselamatan ketika cuba memasuki kasino itu sekitar 11 pagi.

Namun, pengawal keselamatan berkenaan, Encik Saminathan Thangavalu, berasa ada sesuatu tidak kena - muka Liu tidak sama dengan gambar di permit kerja yang ditunjukkannya.

Apabila disoal, Liu mengaku permit kerja itu bukan miliknya.

Mahkamah tidak diberitahu dari mana atau bagaimana Liu mendapat permit kerja itu.

Penyiasatan yang dijalankan selepas Liu diberkas menunjukkan dia berada di Singapura secara haram sejak Januari 2007.

Liu tiba untuk bekerja di sini pada 2005 dan diberi permit kerja pada 6 Oktober tahun itu.

Apabila permit kerjanya dibatalkan dua tahun kemudian, Liu tidak pulang ke negara asalnya dan sebaliknya menyembunyikan diri.





No comments:

Posting Terkini