Singapura ~ MINGGU lalu rangkaian Hotel 81 diheret ke mahkamah kerana membiarkan pelacur menjalankan kegiatan lampu merah di bilik hotel itu.
Semalam, Dragon Hotel pula didakwa di mahkamah kerana membenarkan kegiatan pelacuran berlaku di bangunannya di Muscat Street.
Mahkamah diberitahu bahawa pemegang lesen hotel itu, Teo Eng Heng, 41 tahun, dikatakan membenarkan beberapa pelacur menggunakan sebuah bilik bagi kegiatan haram itu antara 11.45 malam pada 9 Februari dengan 12.45 pagi pada 24 April lalu.
Tiada sebarang pengakuan dibuat.
Dalam kes Hotel 81, kegiatan haram itu didakwa berlaku di dua daripada sekitar 30 hotel rangkaiannya.
Hotel 81 ialah rangkaian hotel bajet terbesar di sini dan kebanyakannya terletak di sekitar Geylang, Chinatown dan Balestier.
Kes hotel itu, melibatkan pengurus besarnya, Chu Poh Yong, juga 41 tahun, akan didengar lagi hujung bulan ini.
Pada April lalu pula, Siah Chen Long, pengendali Shing Hotel di Little India, juga didakwa di mahkamah kerana membenarkan pelacur asing menjalankan kegiatan lampu merah dari hotel tersebut.
Di bawah undang-undang, pemegang lesen yang membiarkan pelacur menjalankan kegiatan di bilik hotel mereka boleh didenda sehingga $1,000.
Lesen mereka boleh juga ditarik balik.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment