Pages

Wednesday, August 7, 2013

Tiga Naib Presiden UMNO dijangka kekalkan kedudukan


Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal
KUALA LUMPUR 6 Ogos - Tiga Naib Presiden UMNO ketika ini iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dilihat mempunyai peluang cerah untuk mengekalkan jawatan mereka dalam pemilihan parti akhir tahun ini.

Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan berkata, biarpun beberapa nama besar kini disebut-sebut akan bertanding jawatan itu tetapi aura nasional yang dibawa ketiga-tiga pemimpin tersebut dijangka memberi kelebihan dalam membantu kemenangan mereka.

“Kriteria utama yang perlu ada pada Naib Presiden ialah aura nasional dan sepanjang tempoh lima tahun ini, saya melihat gandingan Ahmad Zahid, Hishammuddin serta Mohd. Shafie cukup baik kerana mereka telah membuktikan keupayaan dan kemampuan untuk melaksanakan agenda itu.


“Bagaimanapun terpulang kepada 150,000 ahli untuk membuat pilihan masing-masing demi kebaikan UMNO dan kepentingan negara," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Hishammuddin yang tidak gentar untuk mempertahankan jawatannya biarpun perebutan kedudukan Naib Presiden dijangka sengit berikutan beberapa nama besar dalam UMNO disebut-sebut akan bertanding.

Sehingga kini, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam hampir pasti bertanding jawatan Naib Presiden manakala Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman juga dipercayai akan masuk gelanggang.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Shamsul Adabi Mamat berkata, senario pemilihan kali ini yang bersifat lebih meluas wajar digunakan sebaik-baiknya oleh mana-mana calon yang berminat termasuk ahli Majlis Tertinggi mahupun pemimpin wanita untuk merebut jawatan tersebut.

“Banyak calon berbakat yang boleh diketengahkan namun saya pasti pemimpin yang akan dipilih nanti semestinya mereka yang banyak menyumbang kepada penyatuan ahli dalam parti," katanya.

No comments:

Posting Terkini