Pages

Sunday, August 11, 2013

Najib akur Umno perlu berubah

BERAYA BERSAMA RAKYAT: Datuk Seri Najib (berbaju kurung biru) sedang sibuk melayani tetamu undangan majlis rumah terbukanya sempena menyambut perayaan Aidilfitri di Seri Perdana, Putrajaya, kelmarin. - Foto THE STAR
PUTRAJAYA: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin bersetuju dengan pandangan pendahulunya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, bahawa Umno perlu melakukan perubahan yang seiring dengan perjalanan masa.
Bagaimanapun, menurutnya, usaha itu adalah satu "tugas amat besar" yang melibatkan emosi para individu dalam parti memerintah itu, menurut laporan sebuah laman berita setempat.
Datuk Seri Najib selanjutnya dipetik oleh The Malaysian Insider (TMI) sebagai berkata bahawa kesabaran amat diperlukan jika parti tersebut mahu melaksanakan perubahan kerana ia tidak akan hanya berlaku dalam semalaman.

Perdana Menteri Malaysia itu juga berkata Umno sudah melakukan perubahan sebaik sahaja beliau mengambil alih daripada Tun Abdullah, dengan meminda perlembagaan bagi pemilihan pucuk pimpinannya yang mana ia bakal dilaksanakan semasa pemilihan parti pada 5 Oktober ini.


Buat kali pertamanya kira-kira 150,000 anggota Umno dijadualkan memilih pemimpin tertinggi parti itu.
Ini berbanding dengan hanya 2,600 delegasi yang biasanya memilih pemimpin parti mereka pada masa-masa lalu.
Datuk Seri Najib berkata demikian pada majlis 'Rumah Terbuka Kabinet' yang dianjurkan oleh beliau di kediamannya di Seri Perdana, Putrajaya, semasa diminta mengulas pandangan Tun Abdullah dalam buku terbaru mantan perdana menteri itu, The Awakening : The Abdullah Badawi Years in Malaysia.
Tun Abdullah, melalui salah satu ulasannya pada buku itu, berkata Umno kini berada dalam situasi yang sukar dan perubahan mesti dilakukan untuk terus kekal.
"Saya melihat perlu ada tahap kesedaran yang perlu dilakukan untuk melakukan perubahan hari ini. Namun, fasa untuk menerima perubahan itu sebenarnya masih belum dapat dilihat," kata Tun Abdullah.
Bagaimanapun, Datuk Seri Najib enggan memberi ulasan selanjutnya mengenai buku Tun Abdullah itu kerana beliau mendakwa belum membaca sepenuhnya naskhah tersebut.
Menurutnya, rancangan untuk mengubah negara tidak terletak pada dirinya seorang, tetapi ia bermula daripada legasi Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi perdana menteri paling lama di Malaysia sebelum beliau digantikan oleh Tun Abdullah.
Datuk Seri Najib juga menggesa masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia supaya berhenti daripada menyakiti perasaan sesama sendiri.
"Maka (kini) giliran saya melakukan transformasi, dan saya akan memberi sepenuh komitmen dan yakin akan mampu melaksanakan," kata beliau.
"Kita mahu negara ini menjadi harmoni. Sekiranya kita berterusan menegakkan siapa yang benar atau salah maka ia tidak akan berkesudahan.
"Tetapi, sekiranya kita berjanji tidak akan menyakiti sesama sendiri maka kita akan menjadi negara yang aman," jelasnya.

No comments:

Posting Terkini