Singapura- KAPAL tangki pertama yang dibina bagi syarikat perkapalan Melayu setempat, Prestige Marine Services, siap sepenuhnya semalam untuk beroperasi.
Kapal tangki kimia itu berdaftar di Singapura dengan seberat 7000 DWT.
Bernilai $26.7 juta, ia adalah antara enam kapal tangki baru syarikat itu yang dibuat di pelabuhan Surabaya, Indonesia.
Perasmian bagi penyerahan kapal tangki yang akan disewakan itu diadakan di pelabuhan Surabaya semalam.
Ketika dihubungi menerusi panggilan jauh semalam, pengerusi eksekutif syarikat itu, Dato' Mohd Zain Abdullah, berkata beliau berpuas hati dengan mutu kapal barunya itu.
'Pembinaan kapal tangki Vanda bernilai $26.7 juta ini juga memenuhi jadual masa yang kami tetapkan. Kapal tangki itu akan disewakan. Ia ini dijangka tiba ke pelabuhan Singapura dalam masa dua minggu,' katanya.
Dato' Zain, yang juga Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), pernah berkata bagi sebuah kapal tangki seberat 6,000 tan, syarikatnya mengenakan sewa antara AS$9,500 ($13,300) dengan AS$10,000 sehari.
Menurut beliau, malam semalam syarikatnya juga mengadakan majlis peluncuran ke laut sebuah lagi kapal tangki, Avilla, yang separuh siap.
Peluncuran itu dibuat kerana kerja-kerja selanjutnya perlu dilakukan di permukaan laut di pelabuhan tersebut.
Enam kapal tangki baru yang ditempah dari Indonesia itu kesemuanya berharga sekitar AS$58 juta.
Ia adalah usaha pertama Prestige Marine menempah dengan membuat sendiri kapal-kapal tangki mereka.
Sebelum ini syarikat itu membeli kapal-kapal tangki terpakai, kebanyakannya dari Jepun, atau menyewanya.
Menurut beliau, syarikat itu akan mempunyai 18 kapal tangki pada akhir tahun depan, termasuk enam kapal tangki baru yang dibina di Indonesia.
Ditanya tentang ramalan prestasi perniagaan syarikat perkapalannya memandangkan keadaan ekonomi sejagat yang dijangka tidak menentu tahun depan, Dato' Zain, yang juga pemenang Anugerah Jauhari Berita Harian 2008, berkata:
'Perniagaan syarikat kami sama seperti kebanyakan perniagaan lain yang dijangka terjejas jika prestasi ekonomi dunia dan Singapura kurang baik. Kami akan mengikut tempo ekonomi.
'Jika keadaan ekonomi lembap, perniagaan dan kegiatan perkapalan kami akan dikurangkan. Tetapi jika keadaan ekonomi semakin baik, kami akan mempercepatkan perniagaan dan kegiatan perkapalan kami.'
Syarikat Prestige Marine mempunyai sembilan anak syarikat yang menggajikan lebih 200 pekerja.
Dua lagi pemegang saham yang juga pengarah syarikat itu ialah adik beliau, Encik Jalaludin Abdullah, dan seorang lagi, Encik Mohd Abdul Rahman.
Pendapatan syarikat Prestige Marine Services adalah $200 juta dalam 2001.
Ia meningkat kepada setengah bilion dolar dalam 2004, dan melompat seganda kepada $1 bilion tahun lalu.
Syarikat itu menetapkan penjualan AS$1 bilion menjelang akhir tahun ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment