PERMINTAAN yang lemah dari Amerika Syarikat dan Eropah terus menjejas eksport dari Singapura bulan lalu.
Eksport Bukan Minyak Dalam Negeri (NODX), kayu ukur utama bagi dagangan luar negara Singapura, susut 5.7 peratus bagi September lalu berbanding tempoh yang sama setahun lalu.
NODX adalah eksport produk yang dihasilkan di Singapura atau menjalani proses penghasilan lanjutan di sini, seperti telefon bimbit, barangan perubatan dan bahan aktif bagi ubat.
Ia adalah kemerosotan bulan kelima berturut-turut, walau kemerosotan bulan lalu tidak seteruk Ogos.
Malah, kejatuhan NODX tidak seteruk yang diramalkan para pengamat, yang menjangka kemerosotan 9.7 peratus bagi bulan lalu.
Mengambil kira faktor musiman, NODX bulan lalu merosot 0.8 peratus berbanding Ogos lalu.
Kejatuhan NODX terus dipengaruhi kemerosotan eksport barangan elektronik.
Eksport produk elektronik susut 10.7 peratus, kemerosotan bagi bulan yang ke-18 berturut-turut.
Ini disebabkan penjualan barangan elektronik pengguna, perkakas hubungan telekomunikasi dan pemacu cakera (disk drive) yang lebih rendah.
NODX bukan elektronik susut 1.9 peratus bulan lalu disebabkan kurangnya eksport farmaseutikal, produk media cakera dan peralatan jentera.
NODX ke semua 10 pasaran utama merosot, kecuali Indonesia, Korea Selatan, Hongkong dan China.
NODX ke Kumpulan Kesatuan Eropah (EU27) susut 23.6 peratus, manakala NODX ke Amerika Syarikat menjunam 24.5 peratus.
'Permintaan lebih rendah daripada pasaran-pasaran ini akan meletakkan tekanan pada NODX bagi bulan-bulan mendatang,' kata pakar ekonomi UOB, Cik Ho Woei Chen.
Para pengamat meramalkan bahawa kelemahan NODX akan berterusan sepanjang tahun ini.
Semalam Indeks Straits Times merosot 3.73 peratus atau 72.69 mata kepada 1,878.51 ekoran sentimen lemah pelabur yang bimbang mengenai kemelesetan ekonomi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment