Singapura- SEORANG guru tajaka yang mengaku bersalah mendera seorang kanak-kanak dengan menggosok cili pada bibirnya dijatuhi hukuman denda maksimum $4,000.
Hakim Daerah, Cik May Mesenas, memutuskan tidak menjatuhkan hukuman penjara ke atas Hasanah Ahmad, 25 tahun, berdasarkan rayuan yang dikemukakan oleh peguamnya, Encik Pritam Singh Gill.
Encik Gill merayu Hakim Daerah agar mengenakan hukuman ringan kerana anak guamnya mengandung empat bulan dan mengalami tekanan semasa kejadian itu berlaku.
Beliau berkata anak guamnya itu pernah mengalami dua keguguran sebelum ini.
Semasa kejadian, dia mengalami tekanan kerana mempunyai dua kanak-kanak baru dan 12 kanak-kanak yang harus dijaga.
Hasanah yang kini menganggur adalah ibu tiga anak dan mempunyai diploma dalam pendidikan prasekolah.
Cik Mesenas juga menetapkan bon sejumlah $5,000 terhadap Hasanah agar berkelakuan baik.
Dia juga perlu menjalani kaunseling, psikoterapi atau program yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS).
Suaminya, seorang pegawai polis berusia 27 tahun, menjadi penjamin ke atas bon $5,000 itu.
Mahkamah diberitahu bahawa kejadian itu berlaku di sebuah tajaka jagaan kanak-kanak di Ang Mo Kio pada Mei tahun lalu.
Dalam kejadian sekitar 7 malam itu, Hasanah mendapati budak lelaki itu cuba mencampak sebatang kayu ke arah anak lelakinya yang berusia tiga tahun. Anak Hasanah juga dijaga di pusat jagaan yang sama.
Dia dikatakan panik, menyuruh budak lelaki itu meletakkan semula kayu itu dan kemudian membawa kanak-kanak itu ke sebuah kelas untuk menegurnya.
Hasanah kemudian membawa sebungkus cili padi dan mengugutnya supaya memakan cili padi itu setelah kanak-kanak itu enggan melihat mukanya.
Budak itu meronta-ronta apabila Hasanah mula membuka bungkusan cili padi lalu terkena muka dan mulut kanak-kanak itu.
Tangan Hasanah yang dipenuhi cili juga terkena pada muka kanak-kanak tersebut.
Seorang guru lain terdengar kekecohan itu dan melihat kesan merah pada bibir kanak-kanak tersebut. Muka dan leher kanak-kanak itu mula beruam.
Ibunya membuat laporan polis setelah melihat keadaan anaknya setelah mengambilnya dari pusat jagaan tersebut.
Hasanah menawarkan $2,000 kepada ibu kanak-kanak itu sebagai pampasan tetapi ditolak. Beliau hanya menerima permohonan maaf daripada Hasanah.
Hasanah yang bekerja sejak 2005 dipecat pada Mei lalu kerana insiden tersebut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment