Pages

Sunday, August 15, 2010

Abu Bakar Bashir hadapi hukuman berat akhirnya?

PENYOKONG MARAH: Anggota JAT di Solo membantah penangkapan Abu Bakar (kiri) dan melaungkan slogan antipemerintah Isnin lalu. -- Foto REUTERS

ABU Bakar Bashir, 71 tahun, sudah lama dianggap sebagai pemimpin kumpulan pengganas di Indonesia dan dikaitkan dengan beberapa serangan bom, termasuk di Bali, tetapi beliau terus menafikannya.

Isnin lalu, pendakwah bebas berjanggut putih itu ditangkap di daerah Banjar, Ciamis, Jawa Barat. Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Indonesia, Inspektor Jeneral Edward Aritonang, berkata Abu Bakar ditangkap kerana disyaki terlibat dalam beberapa kegiatan pengganas.

Hasil siasatan polis mendapati Abu Bakar merestui, merancang dan membiayai latihan kumpulan Tanzim pengganas Al Qaeda Indonesia di Aceh, yang terdedah beberapa bulan lalu. Beliau dipercayai juga menentukan pelantikan beberapa orang sebagai pemimpin kumpulan pengganas itu.

Ini bukan kali pertama Abu Bakar ditangkap.

Pada 1983, beliau ditangkap bersama Abdullah Sungkar oleh rejim Presiden Suharto atas tuduhan menghasut orang ramai supaya menolak asas tunggal Pancasila dan melarang pelajar di Pondok Pesantren menghormati bendera negara kerana perbuatan itu dianggap syirik.

Mereka berdua dihukum penjara sembilan tahun atas tuduhan itu.

Pada 1985, Abu Bakar dan Abdullah melarikan diri ke Malaysia ketika dikenakan tahanan rumah.

Di Malaysia Abu Bakar disebut-sebut membentuk pada 1993 gerakan Islam radikal Jemaah Islamiyah (JI), yang menjalin hubungan dengan Al-Qaeda.

Namun, beliau beliau tidak pernah mengakui wujud JI.

Abdullah meninggal dunia pada 1999, selang setahun Abu Bakar kembali ke Indonesia, selepas kejatuhan presiden Suharto.

TUMPASNYA KOMPLOT PENGGANAS

Penangkapan Abu Bakar sudah dijangka apabila polis baru-baru ini mengaitkan anggota kumpulan barunya, Jamaah Anshorut Tauhid (JAT), dengan kumpulan pengganas di Aceh.

Pada Mei lalu, polis menangkap tiga anggota JAT kerana disyaki menyumbang dana kepada kem pengganas di Aceh.

Menurut percayai Abu Bakar orang utama di sebalik latihan pengganas di Aceh, terutama dalam pembentukan asas perjuangan ketenteraan yang dikenali sebagai Qaeda Amina.

Beliau dikatakan menentukan tiga orang menjadi pemimpin aktiviti latihan itu - Ustaz Mustaqim dan Abu Bakar, alias Abu Thalib, sebagai pengelola latihan, dan Dulmatin sebagai pengurus latihan.

Ustaz Mustaqim dan Abu Bakar masih diburu polis, manakala Dulmatin maut dalam serbuan polis Mac lalu.

Turut ditahan bersama Abu Bakar Isnin lalu ialah lima orang yang dipercayai pengawalnya kerana mereka menghalang polis dalam operasi tangkapan itu.

Sejak April hingga Mei lalu, polis telah menangkap 102 orang yang dipercayai terlibat dengan kegiatan pengganas di Aceh.

Namun, hanya 66 daripada mereka dianggap sebagai suspek dan akan didakwa di mahkamah di Jakarta tidak lama lagi.

Akhir bulan lalu, dua lagi suspek ditangkap. Arifin ditangkap di Solo kerana dipercayai berperanan sebagai orang yang mencari senjata bagi latihan ketenteraan pengganas, sementara Tong Ji, atau Warsito, ditangkap di Indramayu, Jawa Barat, kerana disyaki berperanan mendapatkan anggota bagi latihan di Aceh itu.

Polis percaya kumpulan pengganas itu telah merancang serangan bom ke atas Markas Besar Polis Indonesia di Jakarta, Markas Besar Komando Polis di Jawa Barat, beberapa hotel antarabangsa dan beberapa kedutaan asing di Jakarta.

Bagi menyokong rancangan itu, kelompok ini telah membangunkan makmal pembuatan bom di Cikuda, Cibiru, Bandung, Jawa Barat dan bahkan telah melakukan ujian ledakan bom di kawasan pergunungan di Sumedang, Jawa Barat.

Hasilnya, mereka tidak lagi menggunakan bahan letupan C4 tetapi Natrium Nitrogliserin, yang kesannya lebih dahsyat.

Kumpulan pengganas itu menggunakan juga khidmat pakar berkelulusan universiti sebagai ahli teknik kimia.

Sabtu lalu, polis menangkap beberapa orang yang disyaki pengganas dalam operasi di Jawa Barat sebelum Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berkunjung ke daerah sekitar Ciwidey, Jawa Barat.

Walaupun tiada bukti ada rancangan serangan bom ke atas Dr Yudhoyono, langkah-langkah keselamatan bagi pemimpin Indonesia itu telah diperketat kerana beliau pernah beberapa kali disebut sebagai sasaran utama pengganas.

Lima orang yang ditangkap bersama Abu Bakar ialah Fahrul Rozi Tanjung dan Hamzah, atau Helmi, di Pasir Biru, Cibiru, Bandung; Ghofur di daerah Subang; Kurnia Widodo, atau Ujang, di Padalarang; dan Ustaz Kiki di Terminal Cileunyi, Bandung.

Semasa Fahrul dan Hamzah ditangkap, polis turut menyita sebuah kereta yang dirancang digunakan dalam serangan bom kereta. Ketika menangkap Ghofur pula, polis merampas 54 peluru senjata api, cairan kimia dan baja urea serta tabung uji bahan kimia.

Turut dirampas ialah bahan membuat bom dan buku-buku mengenai jihad.

KESAN PENANGKAPAN

Dalam satu laporan yang dikeluarkan bulan lalu, pakar pengganasan daripada Kumpulan Krisis Antarabangsa, Cik Sidney Jones, meramalkan penangkapan Abu Bakar tidak akan meninggalkan kesan penting ke atas gerakan pengganasan di Indonesia.

Ini memandangkan Abu Bakar 'tidak sepenting berbanding sebelum ini' dan kini terasing daripada anggota JI, yang sebahagian besarnya tidak lagi menyokong perjuangan bersenjata di Indonesia.

'Beliau mempunyai ramai pengkritik di kalangan penjihad, yang menyifatkan kemahiran pengurusannya lemah dan beliau tidak tajam dalam perancangan strategik,' kata Cik Jones.

Beliau percaya selepas dua kali gagal mendakwa pendakwah itu sebelum ini, polis Indonesia sekarang mempunyai bukti kukuh bahawa Abu Bakar terlibat dalam rancangan pengganas di Aceh.

'Mereka tidak akan menahannya selepas dua kali gagal jika mereka tidak mempunyai bukti kukuh,' ujar Cik Jones.

Namun, penyokong Abu Bakar mendakwa polis mereka-reka kes ke atasnya.

'Saya rasa tuduhan-tuduhan ini sengaja diada-adakan dan keterlaluan. Dalam kehidupan sehari-hari, beliau seorang yang lemah lembut walaupun beliau tegas jika membuat kenyataan tentang undang-undang Syariah,' kata pengetua pesantren Pondok Pesantren Al-Mukmin di Ngruki, Encik Wahyudin.

Encik Wahyudi antara anggota pengasas JAT.

Peguam Abu Bakar, Encik Ahmad Michdan, pula berkata sejak beberapa minggu lalu polis memang berusaha mengada-adakan kes.

'Apa yang kita tahu ialah beliau dikaitkan sebagai seorang pengumpul derma. Dari mana beliau dapat wang itu kami tidak tahu. Abu Bakar Bashir tidak mempunyai wang,' katanya.

Sebelum ini, pemerintah Indonesia dilihat sebagai tidak tegas dalam menangani pengganasan apabila Abu Bakar dikenakan hukuman ringan dan dibiarkan bebas untuk terus menyebarkan ideologi pengganas.

Kali ini, para pengamat menjangkakan Abu Bakar berdepan dengan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun, jika polis dapat membuktikan beliau menaja kem latihan pengganas di Aceh.

Peluang mengenakan hukuman lebih berat ke atas Abu Bakar kali ini tidak mampu dilepaskan begitu saja kerana pengalaman menunjukkan risikonya ternyata terlalu tinggi.


URUTAN PERISTIWA ABU BAKAR BASHIR


1972

Bersama Abdullah Sungkar menubuhkan Pondok Pesantren Al-Mukmin di Ngruki, Solo.


1982

Melarikan diri ke Malaysia bagi mengelakkan daripada ditangkap polis ekoran arahan Presiden Suharto. Dikatakan membantu merekrut rakyat Indonesia menyertai golongan mujahidin di Afghanistan dan berhubungan dengan anggota kanan Al-Qaeda, Riduan Isamuddin Hambali.


1999

Kembali ke Indonesia selepas Presiden Suharto meletak jawatan. Mula berkempen agar dilaksana syariah. Didakwa dinamakan ketua kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).


12 Oktober 2002

Bom diletupkan di dua kelab malam di Bali, menyebabkan 202 orang, kebanyakan warga asing, terkorban. Atas desakan masyarakat antarabangsa, polis menahan Abu Bakar.


2003

Dibicarakan atas tuduhan mengarahkan pengeboman gereja yang menyebabkan 19 orang terbunuh dan mengkhianati negara. Dijatuhi hukuman penjara empat tahun atas tuduhan menghasut bagi mengguling pemerintah. Namun, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan dan hukuman itu.

Kemudian dijatuhi hukuman penjara 18 tahun atas kesalahan imigresen.


30 April 2004

Dibebas dari penjara Cipinang tetapi ditahan semula atas tuduhan mengetuai JI serta memberi restu bagi pengeboman Bali.


3 Mac 2005

Dijatuhi hukuman penjara 30 bulan atas tuduhan berkonspirasi dalam pengeboman Bali tetapi dibebas daripada tuduhan mengetuai JI.


14 Jun 2006
Dibebaskan dari penjara Cipinang.


13 Julai 2008

Meletak jawatan sebagai ketua Majlis Mujaheeden Indonesia, sambil berkata kumpulan yang dibentuknya itu telah keluar daripada Islam, dan membentuk Jemaah Ansharut Tauhid (JAT).


9 Julai 2010

Ditangkap atas tuduhan ada hubungan dengan kumpulan yang didakwa merancang serangan yang menyasarkan wargas asing dan pemimpin negara.

No comments:

Posting Terkini