Pages

Sunday, August 15, 2010

Panggilan azan dari ribuan masjid disatukan

KAHIRAH: Mesir semalam mula menyatukan panggilan azan yang sering dilaungkan lima kali sehari daripada ribuan menara masjid di ibu kota negara itu, tetapi langkah tersebut menerima kritikan daripada para muazin.

Kementerian Ehwal Agama Mesir berkata ia akan melaksanakan rancangan itu dari satu kejiranan ke kejiranan lain sehingga kira-kira 4,500 masjid di Kahirah dapat menyiarkan azan secara langsung dan serentak daripada studio sebuah stesen radio kepada 18 juta penduduk bandar berkenaan.

Projek itu bercita-cita tinggi, tetapi ia menerima tentangan daripada sesetengah ulama - selain para muazin sendiri - dan rancangan untuk memulakannya serentak pada hari pertama Ramadan menghadapi masalah teknikal sehingga terpaksa ditangguhkan sehari lagi.

'Orang Mesir mempunyai masalah dengan pengaturan masa,' kata Sheikh Salem Abdel-Galil, seorang pegawai di Kementerian Ehwal Agama Mesir.

'Matlamat kami ialah menetapkan waktu solat dengan tepat dengan azan dikumandangkan pada masa yang serentak daripada setiap masjid, dan mengawal mutu suara yang memanggil kepada solat,' jelas beliau kepada agensi berita The Associated Press (AP).

Sebelum ini, panggilan azan dilakukan di setiap masjid dalam keadaan tidak teratur dan dengan suara yang berbeza-beza pada waktu-waktu solat yang berbeza juga.

Walaupun para muazin disyaratkan secara teknikal mempunyai suara lunak, ramai yang tidak mempunyai mutu sedemikian.

Projek menelan belanja AS$175,000 ($238,227) itu akan melengkapkan setiap masjid dengan sebuah alat penerima isyarat radio yang akan menyiarkan panggilan azan daripada sebuah studio di kawasan bandar.

Sheikh Salem berkata setiap masjid di Kahirah harus melaksanakan sistem itu menjelang akhir Ramadan ini.

'Kita berada di zaman komputer riba dan komputer, teknologi pula lebih maju dan ia (menyatukan azan) lebih baik dikawal teknologi daripada manusia,' tegasnya.

Bandar-bandar d Syria, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Turkey telah berjaya melaksanakan semacam sistem azan yang sama, tetapi Kahirah menghadapi cabaran - ribuan masjid tidak berdaftar yang dikenali sebagai zawya, sering memasang alat pembesar suara dan mempunyai muazin sendiri.

Namun, bagi kebanyakan muazin, perkembangan terbaru itu bermakna kehilangan mata pencarian dan kemungkinan diturunkan status pekerjaan mereka kepada setakat penjaga masjid.

Para ulama konservatif pula berkata projek itu 'membazir' dan bertentangan dengan syiar Islam kerana ia mengubah amalan tradisi.

'Nabi Muhammad tidak pernah mengarahkan orang menyatukan azan di (rumah beliau di) Madinah, jadi kita tidak seharusnya berbuat yang sama di Kahirah,' kata Sheikh Youssef al-Badri, seorang ulama konservatif.

Sheikh Salem menolak alasan pengkritiknya itu sambil berkata Mesir adalah sebuah tempat yang sukar menghadapi perubahan kerana tipa mindanya yang konservatif. -- AP, AFP.



No comments:

Posting Terkini