JEDDAH: Raja Arab Saudi, Raja Abdullah, dalam dekrinya semalam menetapkan bahawa ulama kanan sahaja yang dibenarkan mengeluarkan fatwa, kata satu laporan agensi berita rasmi SPA.
Laporan itu memetik teks dekri berkenaan sebagai berkata bahawa buat masa ini, hanya anggota Majlis Ulama Kanan yang dibenarkan mengeluarkan fatwa.
Perintah itu dikeluarkan sedang umat Islam di serata dunia baru memasuki minggu pertama puasa Ramadan.
Dalam dekri itu, raja Arab Saudi itu juga telah meminta mufti besar yang memimpin majlis ulama tersebut di negara itu supaya menyerahkan satu senarai ulama-ulama lain yang layak mengeluarkan fatwa.
Pembatasan itu perlu kerana ramai individu kini mula melangkaui kuasa badan-badan agama rasmi dan mengeluarkan fatwa-fatwa yang menyebabkan pertikaian dan pertentangan pendapat di kalangan umat Islam, kata dekri itu.
'Kami telah mengikuti isu ini dan mengambil perhatian terhadap banyak pelanggaran yang tidak boleh kami benarkan. Menjadi kewajipan agama kami untuk menentangnya dengan tegas demi melindungi agama, mengekalkan perpaduan dan menghalang kejahatan,' jelasnya.
'Mereka yang melanggar perintah ini mendedahkan diri mereka kepada tanggungjawab dan hukuman, tidak kira siapa pun,' kata Raja Abdullah memberi amaran dalam dekrinya itu.
Baru-baru ini, seorang ulama Arab Saudi yang mengatakan bahawa muzik tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan seorang lagi yang membenarkan penyusuan badan bagi lelaki dewasa telah mencetuskan perdebatan hebat di negara yang konservatif itu berhubung isu siapa yang dibenar mengeluarkan fatwa.
Seorang ulama Riyadh, Sheikh Adel al-Kalbani, berkata 'tiada teks atau perintah jelas dalam Islam bahawa menyanyi dan muzik adalah haram' atau tidak dibenarkan dari sudut agama.
Selain muzik rakyat, persembahan muzik di khalayak awam masih diharamkan di Arab Saudi, dan para ulama konservatif berkata ia haram walaupun di rumah.
Seorang ulama lebih kanan, Sheikh Abdul Mohsen al-Obeikan, pula membenarkan penyusuan badan bagi lelaki dewasa kerana dia boleh dianggap sebagai anak kepada perempuan yang menyusukannya.
Beliau juga memberi fatwa bahawa solat zuhur dan asar boleh disatukan bagi membantu mereka yang menghadapi suhu musim panas yang tinggi.
Mufti besar Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz al-Sheikh, memberi amaran tentang satu tindakan tegas ke atas fatwa-fatwa seperti itu, sambil berkata kepada stesen televisyen Al-Majd lewat Jun lalu bahawa 'jika seseorang mengeluarkan (fatwa) dan dia tidak layak, maka kami akan menghentikannya'. -- AFP.
Sunday, August 15, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment