Pages

Saturday, June 19, 2010

Hj Hadi dilabel sebagai pemimpin yang pro-UMNO

Hadi Awang yang mencungkil kontroversi dengan idea "kerajaan perpaduan" sebelum ini, dilabel sebagai pemimpin yang pro-UMNO, iaitu cenderung untuk membentuk kerajaan bersama UMNO-BN.

Mengapa keadaan ini berlaku?

Muktamar tahunan PAS ke-56 dibubuh noktah tanpa kontroversi yang meruncing kali ini. Biarpun jaminan demi jaminan terkeluar dari mulut Presiden PAS, Abdul Hadi Awang untuk berganding bahu bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat dan menuju ke Putrajaya, namun ia sedikitpun tidak menceriakan pemimpin parti yang "pro-Pakatan Rakyat".

Suasana sedemikian agak pelik, kerana kata putus Hadi Awang (gambar kanan) selaku Presiden untuk bersama PR seharusnya dilihat sebagai kemenangan sekta dalam parti yang cenderung untuk berada dalam PR.

Diselubungi kekhuatiran

Antara kemungkinannya, pemimpin pro-PR ini diselubungi kekhuatiran. Jika diimbas pemilihan tahun lalu, kelantangan pemimpin pro-PR dalam kritikan terhadap isu kerajaan perpaduan memberi persepsi bahawa golongan ini bersikap agresif untuk menentang pemimpin atasan. Ia berakhir dengan kekalahan sekta pro-PR, khususnya dalam jawatan Timbalan Presiden, apabila kedua-dua calon pro-PR, Husam Musa dan Mohamad Sabu saling memecah-belahkan undi, dan memberi laluan kepada Nasharudin Mat Isa.

Meskipun kedua-dua Mohamad Sabu dan Husam Musa dilantik ke dalam ahli jawatankuasa pusat selepas ini, dan tidak kurang juga pemimpin pro-PR yang menempah kerusi dalamnya, namun pembahagian kuasa dan sumber jelas memihak kepada sekta pro-UMNO. Misalnya, Mustafa Ali yang dilantik sebagai Setiausaha Agung menguasai sumber dalam parti, termasuk lidah parti, Harakah.

Dalam keadaan sedemikian, pemimpin pro-PR mengambil pendekatan yang lebih sederhana dan berhati-hati, agar tidak kelihatan terlalu agresif, yang mungkin akan mencungkil ketidak-senangan sesetengah perwakilan. Pertimbangan sedemikian ada kewajarannya, memandangkan pemilihan parti bakal berlangsung pada tahun depan.

Malah, pertarungan rancak sebagaimana yang berlaku pada jawatan Timbalan Presiden tahun lalu dijangka akan berulang. Gandingan Hadi Awang - Nasharudin Mat Isa mungkin dicabar sekali lagi, terutamanya Nasharudin, yang mana prestasinya belum menjangkau harapan ramai.

Nasharuddin Mat Isa, pemimpin generasi baru yang ditaruh harapan tinggi pada tahun 2005, terpilih sebagai Timbalan Presiden PAS. Beliau berusaha untuk membina semula imej parti ketika menyandang jawatan Setiausaha Agung sejak tahun 1999. Bagaimanapun, setelah terbongkarnya isu "muzakarah", imej Nasharudin Mat Isa mula tercalar. Kini, bebannya semakin berat dengan imej yang negatif, khususnya apabila nama beliau disebut oleh Mursyidul Am, Nik Aziz Nik Mat - sebagai pemimpin yang perlu digantikan.

Apa yang menarik, mengikut pemerhatian wartawan, Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali (gambar kanan, kanan) memainkan peranan yang agak penting dalam muktamar ini. Dalam dua sidang media yang diadakan, Mustafa Ali mendominasi kenyataan yang dikeluarkan, malah sering berbisik untuk memberi peringatan kepada Hadi Awang, dan merebut untuk menjawab soalan wartawan.

Bimbang kritikan diperbesarkan

Pada masa yang sama, satu fenomena yang wujud dalam muktamar ini adalah kritikan terhadap pucuk pimpinan yang semakin "tumpul". Malah, Naib Presiden Mahfuz Omar ketika sesi penggulungan menyentuh keadaan "kurang kritikal" di kalangan perwakilan, sambil menyifatkan perwakilan sebagai cermin kepada AJK, yang akan menggambarkan masalah pimpinan.

Sebagaimana yang diketahui, ketika Allahyarham Fadzil Noor menerajui PAS, beliau secara terus mengkritik Dewan Pemuda bahawa sayap ini tidak cukup kritikal; malah, beberapa tahun pertama ketika Hadi Awang menerajui PAS, beliau juga mengundang agar perwakilan mengkritik dirinya, bahkan menerima kritikan dengan hati yang terbuka. Suasana "kritikal" ini tidak wujud dalam muktamar ini, mungkin disebabkan beberapa pertimbangan.

Pertamanya, perwakilan khuatir kenyataan yang mengkritik diputar belit oleh media yang dikawal UMNO, khususnya Utusan Malaysia; kedua, mereka tidak mahu memberi persepsi bahawa PAS kini berada dalam keadaan kucar-kacir; dan ketiganya, ucapan dasar Presiden kali ini tidaklah kontroversial, dan kurang mengandungi pandangan yang memerlukan kritikan hebat.

Maka, dalam keadaan sedemikian, muktamar tahunan ini berjalan lancar. Kegelisahan yang dibangkitkan sesetengah perwakilan lebih tertumpu kepada ciri-ciri PAS yang dikhuatiri "lenyap" kerana kerjasama dengan DAP dan PKR. Antaranya, seorang perwakilan meluahkan ketakutan bahawa propaganda UMNO di kampung berbunyi "PAS pengkhianat bangsa" menyebabkan pemimpin di akar umbi sukar untuk mempertahankan pendirian PAS. Perwakilan takut undi akan hilang berikutan kegagalan untuk menangkis propaganda ini.

Akhirnya, pemimpin pro-PR seperti Naib Presiden, Salahuddin Ayub, AJK Dzulkefly Ahmad, ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad perlu tampil untuk meredakan kegelisahan ini, menekankan bahawa PAS tidak pernah meraih sokongan Melayu, tetapi mendapat sokongan umat Islam.

Hadi yang prgamatik

Bagaimanapun, sepanjang muktamar ini, Presiden PAS Hadi Awang diperlihatkan mengambil satu pendekatan yang pragmatik. Beliau amat menyedari bahawa PAS kini meraih sokongan kemuncak bukan Melayu / bukan Islam pada detik saat kini. Maka, Dewan Himpunan Penyokong PAS yang ditubuhkan baru-baru ini, malah dinaikkan taraf sebagai sayap parti; pengumuman bahawa bukan Islam boleh menyarung jersi PAS dalam pilihan raya akan datang semuanya strategi untuk menampilkan PAS sebagai parti yang menghormati kaum / agama lain.

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chaw (gambar kiri) ketika ditemuramah berkata, Kelab Penyokong PAS dari tahun 2004 hingga 2008 berjaya memperkenalkan PAS di kalangan bukan Islam, sementara meluahkan kegelisahan bukan Islam kepada pemimpin PAS. Maka, Kelab Penyokong PAS telah menerbitkan akhbar dalam bahasa Cina, mengadakan aktiviti pada hari raya Cina untuk mendampingi masyarakat Cina.

Semasa PRU ke-12, calon PAS menang di kawasan yang terdiri daripada 20%-30% pengundi bukan Islam, malah memenangi lebih daripada 50% undi di sesetengah peti undi bukan Islam. "Ini fenomena yang tidak pernah wujud sebelum ini," kata Hu Pang Chaw.

Hadi Awang dikatakan melihat senario ini, yang mana sokongan bukan Melayu/Islam mengalih kepada PR. Dalam keadaan sedemikian, isu "kerajaan perpaduan" tidak dibangkitkan dalam muktamar ini, biarpun isu ini seolah-olah sebiji tahi lalat yang menonjol di muka seseorang.

Cuma yang menarik adalah, tidak kurang perwakilan PAS yang menyatakan ketidakpuasan terhadap "rakan parti" dalam muktamar ini, berikutan fenomena lompat parti yang wujud dalam parti tersebut. Mereka mencadangkan agar PAS menuntut balik kawasan yang diberikan kepada PKR semasa PRU ke-12, agar ditanding semula calon PAS.

*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.

No comments:

Posting Terkini