Pages

Friday, June 18, 2010

Dekri 'selamatkan orang muda' daripada pornografi di Internet

JAKARTA: Menteri Perhubungan Indonesia semalam berikar akan mengeluarkan dekri menjelang akhir tahun ini untuk 'menyelamatkan golongan muda' daripada unsur pornografi di Internet.

Negara yang mempunyai majoriti penduduk Islam itu menghadapi skandal baru-baru ini dengan tersebarnya klip-klip video seks buatan sendiri yang membabitkan selebriti popularnya.

Ini sekali gus mencetuskan semula saranan-saranan supaya menapis Internet bagi kandungan pornografi.

Menteri Perhubungan Indonesia, Encik Tifatul Sembiring, berkata beliau akan melakarkan satu dekri baru setelah berbincang dengan para penggubal dasar selepas satu versi lebih awal ditangguhkan kerana mendapat tentangan meluas.

'Video itu, yang didakwa mengandungi aksi tiga artis, telah menghina perlembagaan negara dan Pancasila,' katanya sambil merujuk kepada falsafah pengasas negara itu yang disemadikan atas kepercayaan kepada 'satu-satunya Tuhan'.

'Kami mempunyai kepercayaan kepada 'Keesaan Tuhan' dan satu 'Kemanusiaan Adil dan Sivil' sebagai aspek-aspek Pancasila.

'Pengajaran kami dicemari oleh penyebaran video itu,' jelasnya sambil menambah beliau tidak dapat membiarkan prinsip negara itu 'diracuni'. -- AFP.



No comments:

Posting Terkini