Pages

Thursday, May 20, 2010

Sekilas Dunia

Pegawai bank jadi Menteri Kewangan baru Indonesia

BOGOR: Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono, semalam melantik pegawai bank Encik Agus Martowardojo sebagai Menteri Kewangan yang baru, bagi meneruskan dasar pembaharuan dan ekonomi makro.

Encik Martowardojo merupakan ketua pengarah Bank Mandiri, yang merupakan bank terbesar di Indonesia.

Sementara itu, ketua pegarah belanjawan di Kementerian Kewangan, Cik Anny Ratnawati, pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Encik Martowardojo menggantikan mantan menteri kewangan Cik Sri Mulyani Indrawati, yang meletak jawatan baru-baru ini.

Cik Mulyani akan memegang jawatan baru di Bank Dunia mulai 1 Jun ini. -- AFP, Reuters.

Menantu Robert Kennedy ditahan kerana mabuk

BEDFORD (New York): Isteri Encik Robert F. Kennedy Jr, anak ketiga mendiang Robert F. Kennedy, didakwa memandu dalam keadaan mabuk selepas seorang pegawai polis melihat keretanya terbabas ke susur jalan raya di luar sebuah sekolah di kawasan luar bandar, kata pihak berkuasa semalam.

Sarjan Matt Dunn berkata Cik Mary Richardson Kennedy, 50 tahun, ditahan Sabtu lalu dengan ukuran paras alkohol dalam darahnya mencapai 0.11 peratus, berbanding dengan paras yang dibenarkan iaitu sebanyak 0.08 peratus. -- AP.

Australia bakal kaji sistem kewangan Islam

MELBOURNE: Pemerintah Australia telah mengarahkan Lembaga Percukaiannya untuk mengkaji semula layanannya terhadap sistem kewangan Islam di negara itu.

'Kajian semula itu membabitkan analisis menyeluruh ke atas undang-undang percukaian Australia bagi memastikan, di mana boleh, ia tidak menghalang penyertaan kewangan, perbankan dan produk insurans berlandaskan hukum-hukum Islam,' kata Penolong Setiausaha Perbendaharaan Australia, Senator Nick Sherry, dalam satu kenyataannya semalam. -- Bernama.


No comments:

Posting Terkini