Pages

Thursday, May 20, 2010

Ekonomi Singapura paling berdaya saing di dunia

BUAT kali pertama Singapura dinobatkan sebagai ekonomi paling berdaya saing di dunia pada tahun ini.

Ia disusuli oleh Hongkong dan Amerika Syarikat, menurut satu laporan tahunan yang menyeluruh oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Perniagaan (IMD).

Laporan Daya Saing Dunia yang didedahkan semalam menyenaraikan dan mengukur daya saing sebanyak 58 negara serta meneliti bagaimana sekitaran sebuah negara mewujudkan dan mengekalkan daya saing syarikat-syarikatnya.

Menurut IMD, Singapura yang disenaraikan di tempat ketiga tahun lalu, telah menunjukkan keupayaannya mengharungi dan mengatasi krisis kewangan tahun ini.

Ini juga dilakukan oleh Hongkong yang mengekalkan kedudukannya di tempat kedua.

Laporan itu selanjutnya berkata kedua-dua negara Asia itu dapat meraih manfaat daripada pertumbuhan yang dicapai oleh kebanyakan pasaran di Asia.

Pada suku pertama tahun ini, ekonomi Singapura tumbuh sebanyak 13 peratus.

Amerika, yang jatuh ke tempat ketiga setelah menduduki tempat pertama tahun lalu, telah menunjukkan keupayaannya dalam bidang teknologi di samping kepimpinan perniagaan yang mantap bagi mengharungi krisis ekonomi.

Australia dan Sweden pula disenaraikan di tempat keempat dan kelima.

Menurut laporan tersebut lagi, ekonomi-ekonomi Asia yang lain turut memperbaiki kedudukan mereka, sekali gus mencerminkan tahap daya saing dan kecekapan pemerintah yang semakin meningkat.

Dua negara Asia yang menunjukkan prestasi menyerlah ialah Taiwan dan Malaysia, hasil daripada permintaan kukuh di Asia.

Taiwan melonjak daripada tempat 23 tahun lalu ke tempat kelapan manakala Malaysia membaiki kedudukannya daripada tempat ke-18 ke tempat ke-10.

Walaupun laporan itu memuji pertumbuhan eksport Jerman yang kukuh, ia memberi amaran tentang masalah yang melibatkan keupayaan Sepanyol, Portugal dan Greece membayar balik hutang dan kegagalan mereka boleh menghambat pertumbuhan dan pembangunan perniagaan di selatan Eropah.

'Malangnya, adalah dijangkakan bahawa ketiga-tiga negara itu, yang mempunyai defisit belanjawan yang signifikan, dengan prestasi perdagangan yang lemah akan menyebabkan negara-negara itu mengalami kemelesetan yang lebih mendalam tahun ini,' kata laporan itu yang menimbulkan keprihatinan tentang kadar defisit belanjawan yang tinggi di Ireland.

'Oleh itu, krisis tersebut akan menguji sejauh ini kewibawaan mata wang euro. Satu berita terbaik ialah mata wang euro akan merangsang eksport,' rumus IMD dalam laporan tersebut.



No comments:

Posting Terkini