Pages

Friday, May 21, 2010

Berita Ringkas Malaysia

Samy Pecat Mugilan

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan telah dipecat dari parti kerana menentang pucuk pimpinan dan Barisan Nasional, kata sumber terdekat MIC semalam.

Pegawai itu mendakwa, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu telah menggunakan kuasa yang ada seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti telah menandatangani surat pemecatan Mugilan.

Di bawah artikel 61.2 perlembagaan parti, Presiden dan Timbalannya boleh memecat mana-mana ahli yang bercakap untuk kepentingan diri dan bertindak membelakangkan parti.

Kes Kematian Aminulrasyid

SHAH ALAM: Dua lagi laporan polis berhubung kes Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati akibat terkena tembakan polis di Seksyen 11 pada 26 April lepas, dibuat semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini.

Laporan polis itu masing-masing dibuat oleh kakak Allahyarham Aminulrasyid, Nor Azura, 39, dan Muhamad Hafizzudin Omar iaitu abang kepada Azamuddin yang merupakan rakan remaja itu yang berada bersamanya dalam kereta yang dipandu remaja itu ketika kejadian.

Peguam yang mewakili keluarga Aminulrasyid, N. Surendran ketika ditemui pemberita berkata, Nor Azura dalam laporan itu meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan badan bebas untuk menyiasat beberapa kenyataan dikeluarkan pihak polis yang didakwanya seolah-olah bertujuan menutup kes itu.

Tidak Puas Hati, Tinggalkan PKR Sekarang

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengeluarkan notis lisan kepada semua ahlinya yang tidak berpuas hati supaya meninggalkan parti itu dalam tempoh sebulan tanpa perlu menunggu tibanya pilihan raya kecil untuk berbuat demikian.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh berkata, notis lisan sudah memadai dan tepat pada masanya berdasarkan perkembangan terkini rangkaian beberapa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) meninggalkan parti terutama semasa pilihan raya-pilihan raya kecil.

"Mana-mana pihak yang berfikir nak tinggalkan parti boleh berbuat demikian sekarang.

"Tak perlu tunggu bila tibanya pilihan raya kecil untuk berbuat demikian kerana ia akan menimbulkan masalah bila mereka keluar semasa musim pilihan raya kecil... ia akan menjejaskan strategi parti," katanya kepada The Star kelmarin.

Beliau berkata bagi mereka yang ikhlas tidak akan meninggalkan parti semasa pilihan raya dan tidak akan membuat sebarang kenyataan.




No comments:

Posting Terkini