Pages

Friday, May 21, 2010

Keadaan kembali aman di Bangkok

BANGKOK: Keadaan kembali aman di Bangkok semalam, sehari selepas rusuhan paling buruk dalam sejarah Thailand menyusuli tindakan tentera membubar kem bantahan kumpulan 'Baju Merah'.

Ribuan penyokong 'Baju Merah' meninggalkan tapak bantahan, dan pekerja perbandaran mula membersihkan jalan raya daripada puing dan sampah sepanjang bantahan sejak Mac lalu.

Askar Thailand bagaimanapun meneruskan operasi memburu kelompok penunjuk perasaan tegar yang bertanggungjawab membakar bangunan di 39 tempat di Bangkok dan empat wilayah lain.

Dua lagi pemimpin 'Baju Merah' menyerah diri kepada pihak berkuasa semalam, menjadikan tujuh orang kesemuanya yang menyerah diri.

Encik Veera Musikapong, pengerusi Barisan Bersatu Demokrasi menentang Diktator (UDD), yang dikenali sebagai 'Baju Merah', menyerah diri bersama Encik Weng Tojirakarn, kata polis.

Beliau menggesa penyokongnya supaya bertenang selepas rusuhan dan keganasan kelmarin menyebabkan 14 orang terkorban dan 91 cedera.

'Saya mahu anda berpegang pada prinsip tidak melakukan keganasan. Demokrasi tidak boleh dibina atas tindakan balas dendam,' kata Encik Veera di balai polis tempat beliau menyerah diri.

Kerajaan Thailand berkata bantahan 'Baju Merah' di Bangkok telah ditumpaskan tetapi banyak bangunan masih terbakar.

Jurucakap tentera, Kolonel Sansern Kawekamnerd, berkata 39 tempat diserang dan dibakar perusuh kelmarin, termasuk bangunan kerajaan, bank, kedai emas, hotel, pusat beli-belah dan pawagam.

Menurut beliau, perbuatan membakar dan menjarah memang dirancang para pemimpin 'Baju Merah' sebelum mereka menyerah diri.

Keganasan turut merebak ke timur laut Thailand selepas kem bantahan 'Baju Merah' di Bangkok dibubar kelmarin.

Sekitar 13,000 pembantah membakar empat dewan wilayah di Udon Thani, Khon Kaen, Mukdahan dan Ubon Ratchthani, kata setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Encik Manit Wattansen.

Timbalan Gabenor Chiang Mai, Encik Pairoj Saengpoowong, berkata 'Baju Merah' membakar dua trak dan rumah seorang anggota parlimen kelmarin.

Pusat bagi Menghurai Keadaan Darurat (Cres) semalam melanjutkan selama tiga hari lagi perintah berkurung yang dikenakan di Bangkok dan 23 wilayah lain. Namun tempoh berkurung dikurangkan selama dua jam kepada dari 9 malam hingga 5 pagi.

Semalam tentera Thai menafikan ia terlibat dalam pembunuhan sembilan orang di sebuah kuil Buddha, tempat 5,000 penyokong 'Baju Merah', terutama wanita, kanak-kanak dan warga tua, berlindung.

Gabenor Bangkok, Encik Sukhumbhand Paribatra, pula berkata: 'Kerosakan jalan raya dapat kita baiki segera. Tetapi kita tidak tahu berapa lama kita dapat pulihkan hati dan perasaan rakyat yang terluka.' - Agensi.





No comments:

Posting Terkini