Pages

Tuesday, November 3, 2009

Sekilas - Dunia

Karzai diisytihar Presiden Afghan

KABUL: Suruhanjaya Pilihan Raya Afghanistan semalam mengisytiharkan Encik Hamid Karzai sebagai Presiden negara itu selepas pusingan kedua pilihan raya yang sepatutnya dijalankan pada 7 November ini dibatalkan.

Pengumuman itu dibuat selang sehari selepas pencabar Encik Karzai, Encik Abdullah Abdullah, menarik diri daripada menyertai pilihan raya itu kerana bimbang penipuan akan berulang.

Pusingan kedua pilihan raya sepatutnya dijalankan kerana terdapat bukti berlakunya penipuan semasa pusingan pertama pada 20 Ogos lalu. -- Agensi.

Aksi perompak jadi bahan ketawa

WARSAW: Seorang lelaki yang cuba merompak sebuah bank menjadi bahan ketawa kakitangan bank itu apabila mereka menyedari dia hanya bersenjatakan beberapa batang sudu untuk menakutkan mereka.

'Perompak itu akhirnya keluar dengan tangan kosong apabila kakitangan bank enggan menyerahkan wang, malah mengusirnya,' kata polis. -- Agensi.

Penumpang jet presiden dipindah

TAIPEI: Semua penumpang sebuah pesawat kecil yang membawa Presiden Taiwan, Encik Ma Ying-jeou, dipindahkan selepas asap didapati keluar dari kotak gear pesawat itu.

Insiden tersebut berlaku tengah hari kelmarin ketika pesawat Fokker 50 dengan 26 tempat duduk buatan Jerman itu mendarat di lapangan terbang Chingchuangan. -- AFP.

Mangsa bot hanyut dipasti

JAKARTA: Polis Indonesia semalam mengesahkan bahawa 11 orang yang hanyut, termasuk tiga yang mati ketika bot mereka terumbang- ambing di Laut Sulawesi selama lapan hari bukan rakyat Malaysia.

Siasatan awal menunjukkan mereka adalah rakyat sebuah negara jiran yang dalam pelayaran menuju ke Pulau Tawi-Tawi di Filipina. -- Bernama.

No comments:

Posting Terkini