Pages

Saturday, February 5, 2011

Algeria mahu mansuhkan perintah darurat tidak lama lagi


ALGIERS: Algeria akan memansuhkan perintah darurat yang telah berkuat kuasa sejak 1992 dalam 'masa terdekat', presiden negara itu ditukil sebagai berkata kelmarin.

Namun, tunjuk-tunjuk perasaan masih tidak dibenarkan di ibu negeri Algiers, kata Presiden Abdelaziz Bouteflika, menurut media negara itu.

Pemerintahnya menekankan bahawa keadaan darurat itu satu alat penting dalam perjuangan menentang keganasan, tetapi pengkritik berkata ia telah digunakan baru-baru ini bagi memberangus pembangkang politik.

Keadaan darurat itu dikuatkuasakan ketika Algeria tertarik ke dalam perang dingin antara pihak Islamis dengan pasukan pemerintah. Hingga 200,000 orang terkorban.


Namun, keganasan sudah semakin berkurang.

Agensi berita APS negara itu berkata Presiden Bouteflika membuat pengumuman itu ketika rundingan Kabinet kelmarin dan mahu mencari jalan alternatif bagi memerangi faham pelampau.

Agensi berita itu menukil Encik Bouteflika sebagai menekankan bahawa keadaan darurat itu 'tidak pernah menghalang kegiatan politik majmuk.'

Namun beliau mengharaman tunjuk perasaan.

Tunjuk perasaan hanya dibenarkan dalam bangunan tertentu demi ketenteraman awam, laporan itu menukil Encik Bouteflika.

Satu kumpulan pembangkang merancang bantahan di Algiers pada 12 Februari. Pemerintah melarangnya dan memberi amaran jika berlaku keganasan, kumpulan itu akan dipersalah.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Encik P. J. Crowley, berkata Washington mengalualukan ikrar Encik Bouteflika tetapi menekankan langkah konkrit perlu menyusuli janji-janji itu.

Seperti negara jiran Afrika Utaranya yang lain, Algeria, dengan 35 juta rakyatnya, kini gelisah.

Rusuhan-rusuhan berlaku bulan lalu selepas kenaikan mendadak harga makanan, hingga menyebabkan dua orang mati. Para pekerja hospital dan bank pula mogok.

Pemberontakan di Tunisia, jiran Algeria, telah menyingkirkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali bulan lepas selepas 23 tahun berkuasa. -- AP.

No comments:

Posting Terkini