Pages

Saturday, February 5, 2011

Parlimen Myanmar lantik Perdana Menteri jadi Presiden


YANGON: Parlimen Myanmar menamakan Perdana Menteri pemerintah tentera sebagai Presiden terbarunya semalam, memberi ahli penting junta itu tugas tertinggi dalam pentadbiran selepas pilihan raya itu.

Pelantikan Encik Thein Sein, 65 tahun, adalah langkah terbaru dalam apa yang disifatkan Myanmar sebagai peralihan kepada demokrasi menyusuli pilihan raya November lalu, tetapi pengkritik menyelar proses itu sebagai satu penipuan yang hanya mahu menguatkan tentera.

'Ia tidak memeranjatkan. Memang kami telah jangkakan,' kata pejuang demokrasi, Cik Aung San Suu Kyi, kepada wartawan.


Parti Cik Suu Kyi telah memenangi pilihan raya pada 1990 tetapi beliau dihalang daripada memegang kuasa oleh tentera. Parti itu memulaukan pilihan raya November lalu yang mereka katakan tidak adil.

Wakil-wakil tentera dalam parlimen dan sekutu awam mereka memegang 80 peratus majoriti dalam badan perundangan baru, yang telah memilih presiden baru itu daripada tiga calon kelmarin. Encik Thein Sein adalah yang paling terkemuka.

Seorang penggubal undang-undang dewan pertuanan, Encik Khin Shwe, berkata Encik Thein Sein memperolehi 408 daripada 659 undian.

Peranan baru bagi ketua junta, Senior General Than Shwe, yang memegang kuasa mutlak sejak 1992, kurang pasti. Tetapi beliau dijangka tetap berpengaruh.

Di bawah perlembagaan 2008 berkuat kuasa Isnin dengan pembukaan Parlimen Kesatuan, presiden akan melantik panglima besar, ketuaketua menteri wilayah dan negeri serta beberapa menteri Kabinet.

Encik Thein Sein merupakan mantan jeneral yang menjadi perdana menteri junta sejak Oktober 2007 dan kini mengetuai Parti Pembangunan dan Solidariti Kesatuan (USDP), yang menang majoriti besar pada pilihan raya umum November lalu.

Encik Thein Sein mempunyai imej seorang askar 'bersih' dan tidak terlibat dengan rasuah. Namun, sebagai perdana menteri dan ketua tentera yang mempunyai pangkat keempat tertinggi dalam junta, Encik Thein Sein sebelum ini tidak banyak kuasa.

Tentera telah berkuasa di Myanmar sejak 1962. -- AP.

No comments:

Posting Terkini