Pages

Saturday, February 5, 2011

Mubarak sedia undur tapi bimbang Mesir jadi huru-hara


KAHIRAH: Presiden Hosni Mubarak berkata beliau memang mahu berundur segera tetapi bimbang negara yang mempunyai 80 juta penduduk itu akan menjadi huru-hara.

Dalam satu wawancara yang disiarkan oleh saluran televisyen ABC News kelmarin, Encik Mubarak, 82 tahun, mengaku beliau memang sudah 'bosan' kekal sebagai presiden Mesir tetapi keadaan tidak mengizinkannya untuk meletak jawatan sekarang.

Beliau malah telah memaklumkan kepada Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, bahawa Amerika tidak faham budaya Mesir dan apa akan berlaku jika beliau letak jawatan sekarang.


Sebelum ini, Encik Obama mahu Encik Mubarak melakukan proses peralihan kuasa 'sekarang'.

'Saya tidak kisah apa orang kata tentang saya. Buat masa ini, saya bimbang tentang negara saya. Saya prihatin tentang Mesir. Saya tidak suka apa yang berlaku semalam (kelmarin). Saya tidak mahu melihat rakyat Mesir bertempur antara satu dengan lain,' kata Encik Mubarak dalam wawancaranya dengan wartawan Christiane Amanpour.

Berpuluh ribu penunjuk perasaan yang menuntut penyingkiran Presiden Mubarak telah membanjiri lapangan di tengah Kahirah sambil mengibarkan bendera Mesir, menyanyi lagu kebangsaan negara itu dan bersorak.

Mereka kelihatan masih bersemangat walaupun sudah dua hari bertempur dengan penyokong rejim yang cuba menghalau mereka.

Ribuan orang termasuk keluarga bersama anak-anak, menyeberangi jambatan Sungai Nil ke Dataran Tahrir, sebagai tanda mereka tidak gentar walaupun dilontar dengan bongkahan konkrit, batang besi dan bom api oleh penyokong Mubarak.

Kumpulan itu adalah yang terbesar sejak Selasa, apabila suku juta penduduk keluar ke jalanan.

Ribuan orang menghadiri solat Jumaat dan sejurus selepas habis berdoa terus melaungkan mesej kepada Presiden Mubarak: 'Pergi! pergi! Pergi!'

Kelmarin, para penyokong pro-Mubarak dan antipemerintah bertempur untuk menguasai Dataran Tahrir.Dalam pertempuran itu, enam orang dilaporkan terbunuh manakala lebih 800 cedera.

Ribuan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir berkata mereka yang melepaskan tembakan itu adalah anggota polis rahsia.

Bagaimanapun, tuduhan itu telah dinafikan oleh pemerintah.

Sebelum ini, Encik Mubarak berkata beliau tidak akan mempertahankan jawatannya buat penggal keenam dalam pilihan raya pada September ini.

Kelmarin, Encik Mubarak memberi amaran bahawa parti politik Ikhwanul Muslimin, yang sebelum ini telah diharamkan di Mesir akan mengisi kekosongan tampuk kepimpinan jika beliau meletakkan jawatan sekarang.

Sementara itu, Naib Presiden yang baru dilantik, Encik Omar Suleiman kelmarin menggesa penunjuk perasaan meninggalkan Dataran Tahrir dan menyifatkan tuntutan mereka yang mahukan Presiden Mubarak berundur sebagai 'mengundang huru-hara'.

Pada masa yang sama, beliau menawarkan untuk berunding dengan kumpulan penentang, terutamanya pergerakan Ikhwan Muslimin.

Encik Suleiman turut menolak sebarang campur tangan pihak asing berhubung hal ehwal dalaman Mesir dengan menganggapnya sebagai 'tidak boleh diterima'.

Sementara itu, pentadbiran Encik Obama dilaporkan kini sedang mengadakan perbincangan dengan pihak Mesir tentang kemungkinan peletakan jawatan segera Encik Mubarak.

Pembentukan pemerintah sementara yang disokong oleh tentera pula merupakan antara idea yang dibincangkan.Pegawai Amerika menekankan Washington bukan memaksa Mesir melaksanakan cadangan tersebut tetapi melihat satu-satunya jalan aman bagi menyelesaikan krisis itu adalah dengan peletakan jawatan Presiden. -- AFP, AP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini