PUTRAJAYA: Indonesia dan Malaysia hari ini mencapai kesepakatan dalam beberapa perkara bilateral seperti hal perbatasan maritim isu nelayan, pengurusan tenaga kerja dan perdagangan demi kemajuan dan hubungan jangka panjang kedua-dua negara.
Persetujuan tersebut dicapai dalam sebuah mesyuarat delegasi antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Joko Widodo bersama barisan menteri serta pegawai kerajaan masing-masing di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya sebentar tadi.
Najib dalam sidang media memberitahu, dalam isu persempadanan maritim, jawatankuasa teknikal telah bermesyuarat sebanyak 26 kali sebelum ini namun belum menunjukkan hasil dan kemajuan yang signifikan.
"Kami berdua bersetuju untuk meneruskan usaha penyelesaian persempadanan berdasarkan trek jawatankuasa teknikal yang melapor pada Menteri Luar.
"Kedua adalah persetujuan untuk melantik pegawai khas untuk menjalankan rundingan penerokaan peringkat satu, bagi mencari formula yang kebarangkaliannya diterima pemerintah dan rakyat kedua-dua negara," ujar beliau.
Mengenai isu pencerobohan nelayan, kedua-dua negara bersepakat bahawa mana-mana nelayan yang berada di zon perairan pertindihan hanya akan dihalau pulang, manakala nelayan yang melepasi sempadan perairan tersebut akan dikenakan tindakan undang-undang di negara yang dicerobohnya.
Sementara itu, Joko Widodo atau lebih mesra disapa sebagai Jokowi yang mengulas tentang isu tenaga kerja khususnya pembantu rumah memberitahu, kedua-dua negara setuju untuk memastikan kemasukan tenaga kerja Indonesia ke Malaysia melalui satu saluran rasmi sahaja.
"Khusus mengenai tenaga kerja Indonesia (TKI), kita akan gunakan satu saluran tersebut sehingga hal ehwal perlindungan terhadap TKI di Malaysia dapat dilakukan bersama," ujar Jokowi.
Menurut Najib, setakat ini lebih 4,000 pembantu rumah masuk ke negara ini dengan saluran rasmi manakala 105,000 orang lagi melalui saluran yang tidak rasmi.
Dalam hal berkaitan, Najib juga menyatakan persetujuan terhadap permintaan Indonesia mengenai penubuhan Pusat Pembelajaran Komuniti (CLC) bagi memberi peluang pendidikan kepada anak-anak Indonesia yang berada di Sabah.
Selain daripada dua isu besar tersebut, kedua-dua pemimpin itu turut membuka pintu kerjasama ekonomi dan pelaburan untuk diterokai bersama.
Najib dalam ucapannya menyatakan bahawa kunjungan persana Jokowi ke Malaysia amat bermakna bagi meneruskan tradisi dan mengukuhkan sebuah hubungan penting dan strategik berasaskan kebersamaan sejarah, agama serta sentimen.
No comments:
Post a Comment