Pages

Saturday, February 5, 2011

Lelaki rogol anak dijel 80 tahun, sebat 40 kali


KUALA LUMPUR: Seorang peniaga gerai makanan yang tergamak memuaskan nafsu dengan merogol anak kandungnya di hadapan isterinya menerima padah apabila dia diarahkan meringkuk di penjara selama 80 tahun.

Hakim Mahkamah Sesyen Mohamad Sakeri Mamat juga memerintahkan supaya tertuduh yang berusia 47 tahun itu disebat sebanyak 40 kali bagi empat pertuduhan melakukan perbuatan terkutuk tersebut.

Hukuman itu dijatuhi selepas lelaki yang mempunyai sembilan anak itu mengaku salah terhadap semua pertuduhan.Hukuman diarahkan berjalan bermula daripada tarikh dia ditangkap, iaitu 27 Januari lalu.


'Sebagai seorang bapa, tugasnya adalah untuk melindungi dan menjaga anak. Tetapi kamu telah merosakkan seluruh kehidupan anak perempuan kandung kamu sendiri,' kata Hakim Mohamad Sakeri kepada tertuduh.

Tertuduh, yang hanya menundukkan kepala apabila mendengar hukuman didakwa merogol mangsa yang berusia 15 tahun di sebuah bilik rumah di projek perumahan rakyat di Cheras, dekat sini pada 2 petang, 23 Januari lalu.

Dia juga didakwa melakukan perbuatan itu sebanyak tiga kali antara November dengan Disember lalu di tempat yang sama.

Lelaki itu didakwa tetap melakukan perbuatan itu, meskipun dihalang oleh ibu mangsa.Malah, dia tergamak memukul isterinya apabila ditegah.

Tidak tahan dengan perbuatan tertuduh, ibu mangsa kemudiannya meminta seorang jiran membuat laporan polis pada malam terakhir mangsa dirogol.

Sebelum mahkamah menjatuhi hukuman, tertuduh cuba merayu simpati mahkamah dengan bermodalkan masalah kesihatan.

'Saya menghidap penyakit darah tinggi, gout dan lemah jantung. Saya bergantung kepada ubat-ubatan dan memerlukan rawatan di hospital,' katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Encik Loon Jia Yin, memohon mahkamah menjatuhi hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

'Saya memohon mahkamah mengambil kira trauma yang dialami mangsa sepanjang hidupnya akibat daripada perbuatan tertuduh,' tambahnya, lapor laman berita mStar Online.

No comments:

Posting Terkini