RIYADH: Seorang pengebom nekad telah menyebabkan seorang putera raja yang sering dikaitkan dengan usaha antipengganasan Arab Saudi mengalami kecederaan ringan apabila pengebom itu meletupkan dirinya sejurus sebelum satu perhimpunan sempena menyambut Ramadan, demikian sebuah agensi berita negara itu melaporkan semalam.
Kejadian itu adalah percubaan membunuh pertama ke atas salah seorang anggota keluarga diraja Arab Saudi sejak kerajaan itu memulakan tindakan tegasnya terhadap kumpulan militan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda lapan tahun lalu berikutan peristiwa 11 September 2001 (9/11) di Amerika Syarikat.
Militan yang disyaki menyerang Penolong Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Muhammad bin Nayef, lewat kelmarin pada perhimpunan Ramadan di Jeddah, sebelum ini pernah melahirkan keinginannya mahu menyerah dirinya kepada pegawai berkenaan, kata laporan agensi berita Saudi Press Agency (SPA) sambil memetik sumber istana.
Memang menjadi adat bagi para anggota kanan keluarga diraja Arab Saudi mengadakan perhimpunan terbuka dengan rakyat boleh menyuarakan maklum balas dan aduan, meminta pelunasan kewangan atau penyelesaian pertelingkahan lain, atau sekadar mengucapkan tahniah.
Sebaik sahaja mendengar berita serangan itu, Raja Abdullah dengan segera menuju ke hospital, menurut agensi berita itu.
Ia berkata putera berkenaan, yang juga anak Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Nayef, telah dibenarkan keluar dari hospital dan tiada sesiapa lagi yang cedera parah.
Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mempimpin satu kempen agresif kerajaan itu untuk menentang pengganasan - satu usaha yang semakin intensif dijalankan sejak beberapa kumpulan militan kali pertama menyerang kerajaan itu pada Mei 2003.
Negara itu adalah tempat lahir pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden, dan tanah air bagi 15 daripada 19 militan yang merampas pesawat Amerika dalam peristiwa 9/11.
Pada 19 Ogos lalu, pihak berkuasa mengumumkan penangkapan 144 suspek militan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda dalam satu kempen selama setahun, yang turut membongkar tempat penyimpanan bagi puluhan mesingan dan litar elektronik sebagai alat kelengkapan bom.
Bulan lalu, para pegawai Arab Saudi berkata sebuah mahkamah negara itu telah mendakwa dan mengenakan hukuman penjara, denda dan pengharaman ke luar negara ke atas 330 militan Al-Qaeda. -- AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment