BAITULMAKDIS: Israel merancang hendak mengerahkan ribuan tentera polisnya di Baitulmakdis dan mengehadkan jalan masuk ke Masjid Al-Aqsa di bandar itu semalam.
Pihak berkuasa Israel berkata ia satu langkah untuk mencegah berlakunya keganasan dalam Ramadan ini.
Ramai polis dikerah di sekitaran Baitulmakdis dan di Bandar Lama, tempat terletaknya Masjid Al-Aqsa, kata satu kenyataan polis kelmarin.
Hanya rakyat Palestin, lelaki yang berusia ke atas 50 tahun dan wanita berumur ke atas 45 tahun, dibenarkan memasuki Tebing Barat, serta rakyat Palestin yang mempunyai permit khas, kata kenyataan itu lagi.
Di bawah sekatan Israel itu, hanya rakyat Palestin yang memegang permit dibenarkan masuk ke Baitulmakdis dari Tebing Barat.
'Polis akan bertindak tegas untuk mencegah sebarang percubaan oleh sesiapa pun yang mahu mengganggu keamanan,' kata kenyataan itu memberi amaran.
Sheik Mohammed Hussein, seorang tokoh agama utama di Baitulmakdis, mendakwa bahawa sekatan-sekatan itu adalah sebahagian daripada percubaan Israel untuk menguasai Baitulmakdis.
Beliau juga berkata langkah itu 'bertujuan mengehadkan kewujudan rakyat Palestin dan Islam di Baitulmakdis'.
Langkah keselamatan tegas itu dikerah sejak beberapa tahun lalu, apabila solat Jumaat pada Ramadan bertukar menjadi satu rusuhan terhadap Israel.
Sekatan itu tidak dikenakan ke atas rakyat Palestin di timur Baitulmakdis, yang memiliki hak kediaman penduduk Israel, atau warga Islam Israel, kata jurucakap polis, Encik Micky Rosenfeld. -- AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment