Pages

Saturday, August 29, 2009

MCA Sedar Keputusan Pecat Dr Chua Bimbangkan BN

KUALA LUMPUR, 28 Ogos-- Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata parti itu amat menyedari bahawa keputusan Majlis Presiden memecat Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mencetuskan kebimbangan di kalangan anggota-anggota parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Saya telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Barisan Nasional dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak semalam bersama rakan-rakan parti saya, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Seri Kong Cho Ha bagi menjelaskan keputusan Majlis Presiden MCA.

"Pendirian Datuk Seri Najib yang membenarkan MCA menyelesaikan masalah dalamannya tanpa campurtangannya adalah dihargai. Saya juga berterima kasih atas nasihat Datuk Seri Najib menyelesaikan masalah parti secepat mungkin," katanya dalam komen ringkas di blognya www.ongteekeat.net Jumaat.

Beliau berkata kepimpinan parti adalah "sekata dalam pendiriannya bagi mengatasi cabaran-cabaran yang mendatang" dan fokus mereka "bukan politik yang eksesif tetapi mengutamakan khidmat kepada rakyat".

"Saya memberitahu Datuk Seri Najib dengan cara amat jelas bahawa MCA komited terhadap konsep 1Malaysia," katanya.

Malah kebanyakan pemimpin BN dalam reaksi terhadap pemecatan Dr Chua berkata ia adalah urusan dalaman MCA, namun kebanyakan mereka melahirkan kebimbangan ia akan mendatangkan implikasi kepada BN.

Najib dalam komen terbarunya hari ini menggesa parti itu menyelesaikan segera krisis dalamannya bagi mengelakkan kesan negatif terhadap parti dan BN.

Najib berharap krisis itu diselesaikan menerusi orang tengah memandangkan kedua-dua pemimpin berkenaan bertegas dengan pendirian masing-masing.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini