MAHU TUNTUT BELA: Dalam petikan video daripada sumber Taleban pada 9 Januari lalu, Humam Khalil Abu-Mulal al-Balawi (kanan) sedang membaca satu kenyataan berikrar hendak menuntut bela di atas kematian pemimpin Taleban Pakistan, Baitullah Mehsud. Di sebelahnya ialah pemimpin baru Taleban Pakistan, Hakimullah Mehsud. -- Foto APVideo sahkan Taleban Pak terlibat dalam serangan pangkalan CIA di Afghan
WASHINGTON: Pengarah Agensi Risik Pusat (CIA) Amerika Syarikat, Encik Leon Panetta, dalam satu rencana yang disiarkan semalam, mendedahkan bahawa doktor rakyat Jordan, Humam Khalil Abu-Mulal alBalawi, baru hendak diperiksa apabila dia meletupkan diri di sebuah pangkalan tentera Amerika di Khost, selatan Afghanistan.
'Ini bukan soal tidak mempercayai seorang pemberi maklumat perisikan. Ia tidak semudah itu, dan tiada sesiapa yang mengabaikan bahaya,' tulis beliau dalam akhbar The Washington Post.
'Dia hampir hendak diperiksa oleh pegawai keselamatan kami - tidak jauh daripada kakitangan perisikan - apabila dia meletupkan bom,' tegas beliau.
Mengikut akhbar itu, CIA bercadang hendak bercakap dengan AlBalawi mengenai bagaimana cara hendak membunuh timbalan ketua Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri.
Tujuh pegawai CIA dan seorang pegawai perisikan Jordan terbunuh dalam serangan di Camp Chapman, sebuah pangkalan CIA yang dikawal rapi di Khost, di tenggara ibu kota Kabul.
Sekurang-kurangnya enam orang lain, termasuk timbalan ketua CIA di Afghanistan, turut cedera dalam serangan itu, kata para pegawai.
Dalam satu rakaman video yang disiarkan kelmarin, Al-Balawi berkata serangan bom itu merupakan tindakan menuntut bela di atas kematian pemimpin Taleban Pakistan, Baitullah Mehsud, yang terkorban dalam serangan peluru berpandu pesawat pengintip Predator Amerika pada Ogos tahun lalu.
'Serangan jihad ini merupakan operasi balas dendam pertama terhadap askar Amerika dan pasukan pesawat pengintip mereka di luar sempadan Pakistan,' kata Al-Balawi dalam video tersebut.
'Kami memberitahu amir kami, Baitullah Mehsud, kami tidak akan lupa kematiannya. Terserah kepada kami untuk menuntut bela di dalam atau di luar sempadan Amerika,' tegas beliau.
Dalam video itu, Al-Balawi duduk bersila di sebelah pemimpin baru Taleban Pakistan, Hakimullah Mehsud. Ia mengesahkan bahawa kumpulan itu turut mendalangi serangan ke atas CIA di Khost.
'Ini satu pesanan buat musuh umat Islam - CIA dan perkhidmatan perisikan Jordan,' tegas Al-Balawi.
Sementara itu, Encik Khalil al-Balawi memberitahu AFP bahawa lelaki dalam video itulah adalah anak beliau, yang diperalat sejumlah agensi perisikan.
Selepas serangan di Khost, pemimpin ketiga paling kanan Al-Qaeda, Sheikh Mustafa Abu al-Yazid, mengeluarkan kenyataan yang menyatakan CIA diserang untuk menuntut bela atas kematian Baitullah Mehsud, dan dua tokoh Al-Qaeda - - Abdullah Saeed al-Libya dan Abu Saleh al-Somali. -- Agensi.
No comments:
Post a Comment