Pages

Monday, January 11, 2010

Sekilas - Dunia

Tiga maut dan satu hilang dalam banjir di Jawa Timur

JAKARTA: Banjir besar di Pasuruan, Jawa Timur, menyebabkan tiga orang terkorban dan seorang hilang, menurut seorang pegawai kesihatan semalam.

Air bah setinggi satu meter - yang berpunca daripada hujan lebat sejak Jumaat lalu - telah menenggelamkan lebih 500 buah rumah di daerah Pasuruan, kata ketua pusat krisis Kementerian Kesihatan Indonesia, Encik Rustam Pakaya kepada AFP.

'Tiga orang mati lemas, seorang hilang dan 150 penduduk terpaksa dipindahkan,' kata Encik Rustam. -- AFP.

Kumpulan tidak dikenali lontar bom di luar gereja

ZAMBOANGA: Sebutir bom tangan meletup di luar sebuah gereja Katolik di pulau Jolo, selatan Filipina, pagi semalam, kata pihak tentera.

Sekumpulan orang yang tidak dikenali telah melempar sebutir bom tangan sebelum subuh di bandar Jolos, ibu kota pulau Jolo, kata Brigedier-Jeneral Rustico Guerrero, ketua pasukan petugas antipengganasan di sana.

Letupan tersebut telah mengakibatkan tingkap gereja berkenaan pecah tetapi tiada sesiapa yang cedera.

Belum ada sesiapa mengaku bertanggungjawab, kata beliau. Tetapi serangan sebelum ini dilakukan oleh gerila Abu Sayyaf. -- AFP.

Wartawan antara tiga korban letupan bom di Afghanistan

LONDON: Satu letupan bom di Nawa, selatan Afghanistan, menyebabkan seorang wartawan Britain, seorang askar marin Amerika Syarikat dan seorang askar Afghanistan terkorban, menurut tentera Britain semalam.

Wartawan perang akhbar Sunday Mirror, Encik Rupert Hamer, 39 tahun; dan jurugambar, Encik Philip Coburn, 43 tahun; sedang mengiringi satu pasukan peronda marin Amerika pada Sabtu lalu apabila kenderaan mereka melanggar bom tepi jalan di Nawa dan menyebabkan bom itu meletup, kata Kementerian Pertahanan Afghanistan.

Encik Hamer meninggal dunia manakala Encik Coburn dan empat askar marin cedera parah.

Ini tugasan Encik Hamer yang kelima ke Afghanistan, manakala Encik Coburn pernah bertugas di Afghanistan, Iraq dan Rwanda sebelum ini. -- AP.

Israel roboh 20 rumah di kawasan larangan tentera

NABLUS (Tebing Barat): Tentera Israel semalam merobohkan 20 rumah di utara Tebing Barat selepas memindah 40 keluarga yang tinggal di sana, kata saksi Palestin.

Rumah-rumah itu digunakan oleh gembala ternakan di desa Tana, dekat Nablus, di tempat yang dijadikan kawasan larangan tentera, yang dikuasai seluruhnya oleh Israel.

Penduduk berkata mereka diarah supaya berpindah daripada bangunan itu sebulan yang lalu.

Seorang jurucakap tentera Israel berkata bangunan tersebut dibina tanpa permit di kawasan tentera berlatih menggunakan peluru hidup. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini