Pages

Monday, January 11, 2010

Temuan bangkai kapal hospital Australia karam dalam 1943

SYDNEY: Sebuah kapal hospital Australia yang terkena bedilan torpedo dalam Perang Dunia Kedua kemudian karam dan menyebabkan 268 orang mati lemas dilihat buat kali pertama dalam tempoh 66 tahun, semalam.

Sebuah kamera kawalan jauh berhasil menyorot gambar kapal Centaur, yang karam pada 14 Mei 1943, selepas ia dijumpai di perairan pantai timur Australia bulan lalu, di kedalaman 2,059 meter.

Pengarah operasi pencarian, Encik David Mearns, berkata beliau berharap bukti fotografi semalam akan melenyapkan semua keraguan.

'Saya berharap ia akan menamatkan pencarian selama 66 tahun mengenai soalan yang tidak terjawab, sekali gus dapat menenteramkan ramai keluarga mangsa di Australia dan di tempat lain,' kata beliau.

'Bangkai kapal itu dijumpai senget sebanyak 25 darjah dan haluan kapal hampir terputus daripada bahagian lain, pada tempat ia terkena bedilan torpedo.

'Meskipun bangkai kapal rosak teruk, tanda-tanda dan ciri khas yang menunjukkan bangkai kapal itu adalah kapal Centaur nampak dengan jelas.'

Australia percaya kapal tersebut dibedil tanpa amaran oleh sebuah kapal selam Jepun.

Antara ciri khusus yang didedahkan kenderaan penyelam yang dilengkapkan dengan kamera semalam ialah palang merah besar di kedua-dua sisi haluan kapal dan nombor 47 yang bermaksud Kapal Hospital Australia Nombor 47.

Encik Mearns berkata keadaan penggambaran bangkai kapal itu tidak cukup bagus disebabkan adanya arus deras dan bahan lain yang mengganggu penglihatan.

Lebih banyak operasi menyelam diperlukan untuk menyiapkan dokumentasi mengenai kapal berkenaan.

Perdana Menteri Australia, Encik Kevin Rudd, bulan lalu berkata karamnya kapal itu menyedihkan rakyat Australia kerana ia lambang tekad mereka menentang musuh yang kejam. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini