Pages

Monday, January 11, 2010

Serangan baru bukti Al-Qaeda masih mengancam

LONDON: Al-Qaeda muncul kembali dengan serangan yang mampu mengorbankan ramai orang.

Hampir lima tahun selepas serangan besar di Eropah, percubaan yang gagal meletupkan pesawat Northwest Airlines di Detroit pada Hari Krismas lalu menunjukkan Al-Qaeda masih berbahaya dan dapat mendorong ramai militan muda menjadi pengebom nekad.

Komplot itu, yang dirancang sekutu Al-Qaeda di Yaman, menunjukkan wujudnya ancaman terhadap negara Barat yang datang daripada sarang pengganas di serata dunia atas galakan Osama bin Laden.

Pakar-pakar membuat rumusan serupa mengenai serangan ke atas pelukis kartun Denmark oleh seorang lelaki Somalia pada 1 Januari lalu.

Lelaki bersenjatakan kapak itu cuba memecah masuk rumah pelukis kartun Nabi Muhammad saw itu dan membunuhnya, tetapi dia ditembak dan dicederakan oleh polis.

'Al-Qaeda muncul semula,'' kata Encik Peter Neumann dari Pusat bagi Kajian Radikalisasi dan Kegansan Politik (CSRPV) di London.

'Ia mungkin berbeza daripada Al-Qaeda pada 2001, dan satu lagi serangan mirip 11 September mungkin masih jauh. Tetapi serangan di Detroit dan di Denmark itu menunjukkan ancaman masih belum lenyap, malah semakin tersebar.

'Bukan cuma wilayah suku kaum di Pakistan yang menimbulkan kebimbangan, malah banyak lokasi di serata dunia.

'Sekarang nampaknya ada pusat serantau, yang menyediakan sumber, latihan dan arahan, berbanding operasi dulu yang dilakukan di satu tempat saja,' tambah beliau.

Al-Qaeda di Semenanjung Arab (Aqap) mengaku bertanggungjawab di atas serangan yang gagal pada 25 Disember lalu apabila lelaki Nigeria, Umar Farouk Abdulmutallab, 23 tahun, cuba meletupkan pesawat Northwest Airlines menuju ke Detroit.

Sesetengah penganalisis menganggap pengakuan itu sebagai bukti bahawa Al-Qaeda semakin lemah dan sasaran kejayaan juga direndahkan.

Namun, ramai penganalisis berpendapat sejumlah serangan baru-baru ini dan penangkapan suspek militan di Amerika Syarikat pada 2009 menunjukkan masyarakat dunia tidak boleh alpa dan lalai dengan ancaman pengganas.

'Kita berdepan dengan musuh yang menggerunkan dan tidak mudah dipujuk,' kata Profesor Bruce Hofffman, pensyarah pengajian keselamatan di Universiti Georgetown, di Washington.

'Apa yang membimbangkan ialah mereka dapat menyesuai diri dan bertindak balas, malah terhadap tekanan berat yang kita kenakan ke atas mereka,' tambah beliau.

Namun, banyak kemajuan dicapai dalam melemahkan Al-Qaeda pada 2009.

Serangan pesawat pengintip Predator di Pakistan berhasil membunuh ramai militan Al-Qaeda, termasuk dua anggota kanannya.

Serangan itu mendorong para pemimpin kanan Al-Qaeda seperti Osama dan timbalannya, Ayman al-Zawahiri, bersembunyi di lokasi terpencil.

Mereka berkomunikasi hanya melalui penghantar surat, satu kaedah kurang berkesan buat penganjur atau penyebar ideologi pengganasan.

'Mereka bimbang untuk berjumpa sesiapa saja yang tidak dikenali. Mereka hanya akan berurusan dengan orang lain, melalui dua atau tiga pengantara, dan bukan secara langsung,' kata pegawai keselamatan Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB), Encik Richard Barrett, dalam satu ceramah di Washington.

'Ini menyukarkan mereka memberi pesanan yang tepat dan jelas. Mereka juga terpaksa menggunakan apa cara yang menarik bagi merekrut dan memberi inspirasi kepada para pengikutnya,' ujar beliau. -- Reuters.

No comments:

Posting Terkini