Pages

Saturday, August 29, 2009

Kedutaan Besar M'sia tegur media

JAKARTA: Kedutaan Besar Malaysia di sini menggesa semua pihak, khususnya media massa di Indonesia, lebih peka dan memahami sensitiviti rakyat kedua-dua negara supaya pemberitaan yang dibuat tidak menyinggung perasaan kedua-dua pihak.

Kedutaan Besar Malaysia menyuarakan rasa kesal kerana kekeliruan dan tuduhan yang dibuat oleh media massa tempatan.

Media massa setempat menuduh kerajaan Malaysia mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali untuk promosi pelancongan Malaysia dalam satu klip video.

'Kedutaan Besar Malaysia ingin menegaskan bahawa telah terdapat kekeliruan dan salah faham serius terhadap produksi dan penayangan klip video komersial itu dan dakwaan penglibatan kerajaan Malaysia,' kata Kedutaan Besar Malaysia di sini kelmarin menerusi satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, klip video komersial itu merupakan inisiatif kreatif Discovery Networks Asia-Pacific sendiri dan tidak sekali-kali melibatkan campur tangan mana-mana pihak di Malaysia.

'Tidak ada pihak di Malaysia yang mendakwa bahawa tarian Pendet adalah tarian dari Malaysia,' tegas kenyataan itu.

'Seharusnya pihak yang berkenaan di Republik Indonesia terlebih dahulu menyelidik hal ini sebelum membuat kesimpulan mengenainya,' kata kenyataan itu.

Beberapa penjelasan telah dibuat mengenai pembikinan klip video 30 saat itu, termasuk pengakuan oleh syarikat swasta berpejabat di Singapura itu yang membuatnya tanpa campur tangan kerajaan mahu pun pihak lain di Malaysia.

Namun, media massa setempat terus membangkitkan isu itu dan melemparkan tuduhan keras, malah mengaitkannya dengan isu-isu serupa sebelum ini yang menuding bahawa Malaysia mencuri kebudayaan Indonesia.

Selasa lalu, Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono, mahu Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) Indonesia-Malaysia berperanan menangani permasalahan antara kedua-dua negara termasuk dalam isu-isu berkaitan hak cipta dan karya budaya.

Mengulas tuduhan terhadap Malaysia berkaitan tarian Pendet itu, Dr Yudhoyono berkata:

'Kumpulan Tokoh Terkemuka itu boleh difungsikan untuk mencegah hal-hal begini. Ini harapan saya, dengan semangat, sekali lagi, menjaga dan memelihara hubungan baik.' - Bernama.

No comments:

Posting Terkini