Pages

Friday, August 28, 2009

Pemandu Sarawak paling ramai kena saman

KUCHING: Sarawak mendahului senarai, paling ramai pemandu dan penumpang kenderaan, termasuk mereka yang duduk di bahagian belakang tidak memakai tali pinggang keledar ketika berada di atas jalan raya.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak, Abdul Hamed Akob, berkata dari Januari hingga Julai lalu, seramai 2,051 pengguna jalan raya di negeri ini, disaman kerana tidak memakai tali pinggang keledar.

Beliau berkata, mereka yang disaman bukan saja pemandu kenderaan persendirian juga pemandu dan penumpang teksi serta kereta sewa.

Katanya, jumlah mereka yang disaman JPJ setakat ini, cuma sebahagian daripada keseluruhan pengguna jalan raya di negeri ini.

“Daripada pemantauan yang dibuat jumlah sebenar pengguna jalan raya di negeri ini yang tidak memakai tali pinggang keledar ramai, bagaimana pun mereka terlepas daripada disaman kerana tidak melalui sekatan diadakan JPJ.

“Daripada 2,051 saman yang dikeluarkan setakat ini, Kuching mendahului senarai, diikuti Miri dan Sibu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Abdul Hamed berkata, jumlah keseluruhan saman yang dikeluarkan JPJ Sarawak setakat ini 36,840 kes, daripada jumlah itu 22,183 membabitkan pelbagai jenis kenderaan, manakala 14,657 membabitkan motosikal.

Beliau berkata, seramai 10,011 saman dikeluarkan kepada mereka yang gagal menunjukkan lesen memandu, tidak ada lesen memandu dan lesen memandu yang tamat tempoh.

Katanya, daripada jumlah itu, 5,522 penunggang motosikal dan 4,489 pemandu bukan motosikal.

“Sebanyak 4,502 saman dikeluarkan kepada mereka yang tidak mempunyai cukai jalan, tamat tempoh, gagal tunjuk cukai jalan.

“Manakala sebanyak 17,916 saman lagi kerana lain-lain kesalahan, 22, 183 membabitkan bukan motosikal, manakala 14,657 motosikal,” katanya.

No comments:

Posting Terkini