Pages

Friday, August 28, 2009

Penangan 'pil palang'

PENDANG: Lebih 20 remaja termasuk pelajar sekolah menjadikan rumah kedai setingkat milik Majlis Daerah Pendang (MDP) di sini, yang terbiar untuk melakukan kegiatan tidak bermoral sejak beberapa bulan lalu.

Mereka turut mengambil pil khayal dikenali sebagai ‘pil palang’ atau Nospan, hidu gam dan minum arak murah jenis Thai Song untuk mencari keseronokan.

Dengan harga yang murah, remaja terbabit mampu membeli pil Nospan yang biasa digunakan bagi merawat penyakit batuk kering.

Pil berkenaan dikatakan boleh membuatkan seseorang yang memakannya berasa pening, khayal, keliru dan murung menyebabkan ia digemari remaja terbabit.

Tinjauan Berita Harian mendapati ada beberapa keping bekas pil Nospan dan tin gam digunakan kumpulan remaja terbabit untuk melepaskan ketagihan mereka di rumah kedai milik MDP itu.

Kumpulan remaja terbabit turut bertindak liar apabila merosakkan cermin dan kemudahan di kedai itu termasuk surau.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Sabarudin, 43, berkata, pelajar sekolah menggunakan rumah kedai tinggal itu untuk ponteng sekolah dan melepak.

Katanya, remaja pula mula berkumpul pada lewat petang dan melakukan kegiatan tidak bermoral sehingga lewat malam.

"Apabila khayal, remaja terbabit akan membuat bising sambil memecahkan cermin tingkap kedai itu.

"Banyak pintu kedai yang ditinggalkan pemilik dipecahkan dan barang-barang hilang.

"Sebelum ini, semua 14 kedai itu beroperasi, namun disebabkan peningkatan kes kecurian, peniaga terpaksa berpindah ke tempat lain sehingga kedai itu terbiar," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sabarudin berkata, setiap petang remaja terbabit yang dipercayai khayal selepas meminum arak dan makan pil Nospan, akan menunggang motosikal sambil menunjukkan aksi maut di kawasan lapang di situ.

Beliau sering melihat beberapa remaja perempuan keluar masuk ke kawasan itu dipercayai untuk melakukan maksiat dengan pasangan mereka.

No comments:

Posting Terkini