Pages

Tuesday, May 5, 2009

WHO BERI AMARAN GELOMBANG KEDUA MUNGKIN LEBIH HEBAT

HONGKONG: Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memberi amaran bahawa virus Influenza A (H1N1) akan muncul kembali dengan serangan yang lebih kuat walaupun wabak itu kini kelihatan mula stabil.

Pengarah besar WHO, Cik Margaret Chan, berkata kadar kematian yang tidak menunjukkan kenaikan mendadak tidak bermakna wabak itu akan berakhir.

Sebaliknya, gelombang kedua mungkin berlaku dengan lebih serius lagi.

'Jika itu berlaku, ia mungkin serangan wabak paling besar pernah dihadapi dunia dalam kurun ke-21.

'Kami berharap virus ini akan lenyap tetapi jika perkara itu tidak berlaku, kita akan berdepan dengan satu wabak besar,' kata Cik Chan dalam wawancara yang disiarkan akhbar Britain, Financial Times, semalam.

Sejauh ini, WHO telah mengenal pasti 985 jangkitan flu H1N1 di 20 negara di serata dunia, dengan Mexico merupakan negara paling teruk terjejas.

Cik Chan menegaskan WHO membuat penilaian itu berdasarkan risiko saintifik dan bukan semata-mata bertujuan menakut-nakutkan dunia.

WHO berkata pemantauan harus dipertingkat memandangkan virus itu kini didapati telah menjangkiti babi-babi di Canada.

Seorang pelancong telah dijangkiti virus itu semasa melawat Mexico dan apabila pulang ke Canada, beliau menjangkiti keluarga dan ternakan babinya pula.

Sementara itu, virus flu H1N1 dilaporkan telah merebak ke 30 wilayah di Amerika Syarikat dan menjangkiti 226 orang, lapor Pusat bagi Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).

Sebahagian besar pesakit adalah golongan muda, dengan sedikit saja kes melibatkan mereka yang berusia 50 tahun ke atas.

Pemangku pengarah CDC, Encik Richard Besser, berkata terdapat 'tanda-tanda memberangsangkan' bahawa virus flu H1N1 tidak lebih teruk berbanding virus flu musiman biasa.

Pemerintah Amerika berkata ia berharap dapat menghasilkan vaksin bagi mengatasi virus itu menjelang musim luruh depan.

Di New Zealand, jumlah kes jangkitan virus itu telah meningkat lagi daripada dua kepada enam semalam.

Timbalan Pengarah Kesihatan Awam, Cik Fran McGrath, berkata tiada bukti yang virus itu telah merebak ke masyarakat umum.

Buat masa ini, seramai 69 orang disyaki dijangkiti virus itu.

'Ini bermakna sejauh ini, semua kes hanya melibatkan mereka yang baru pulang dari negara yang terjejas atau telah berhubungan rapat dengan golongan itu,' kata Cik McGrath. -- AP, AFP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini