Pages

Wednesday, January 4, 2012

300 dakwa bayar $94,000 tapi tidak dapat beg yang dibeli melalui Facebook


Singapura l HAMPIR 300 pelanggan Melayu mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang peniaga beg berjenama yang menjalankan perniagaan menerusi rangkaian sosial Facebook.

Mereka difahamkan telah membayar sejumlah $93,980 kepada akaun pemilik peniaga itu, Chique Gelerie, tetapi sehingga sekarang belum mendapat beg yang dikatakan ditempah dari luar negara itu.

Menurut para pelanggan itu, tempahan dibuat empat bulan lalu dan kini usaha menghubungi peniaga itu gagal.

Sekumpulan pelanggan telah menubuhkan kumpulan sendiri di Facebook, dengan gelaran CG IOU List, bagi mendapatkan kembali wang mereka.

Sehingga semalam, kumpulan itu menarik 492 anggota, termasuk bukan Melayu.


Beberapa pelanggan yang melahirkan kemarahan mereka di Facebook sejak beberapa hari lalu telah membuat laporan polis. Ini disahkan polis, yang masih menyiasat.

Chique Gelerie ditubuhkan oleh pemilik perniagaan tudung Chique Gele, Cik Nurazlin Abdullah.

Semasa dihubungi Berita Harian semalam, beliau enggan mengulas dan menafikan ada kaitan dengan Chique Gelerie, yang katanya kini dikendalikan temannya, Cik Hamidah Othman.

Cik Nurazlin, yang popular dengan produk tudung berkonsep lilitan kepala ala di Afrika, dipapar Berita Harian Februari dan September lalu sebagai antara contoh peniaga menerusi Facebook.

Usaha para pelanggan itu dan Berita Harian menghubungi Cik Hamidah gagal. Beberapa pelanggan berkata beliau pernah menipu pelanggan di Facebook menerusi akaunnya, Iz Midah.

Seorang pelanggan yang melaporkan kes itu kepada polis dua hari lalu, Cik Hanna Mohamed, 19 tahun, berkata: 'Mereka mengambil masa sangat lama untuk jawab pertanyaan. Bermacam alasan diberi Cik Nurazlin setiap kali saya tanya tentang beg duit saya dan dia sering beri janji-janji kosong.'

Beliau membayar cengkeram $95 bagi beg duit berjenama yang ditempah lebih tiga bulan lalu.

Seorang lagi pelanggan, Cik Aryani Rahman, yang membayar hampir $700 bagi beg berjenama Louis Vuitton, berkata: 'Saya sangat berharap boleh dapat semula duit saya kerana sudah berbulan-bulan terkejar-kejar mereka tentang beg saya dan saya sudah agak jemu bertanya tentangnya.'

Namun, beliau tidak membuat laporan polis.

Cik Yasmin Abdullah, 39 tahun, yang telah menunggu hampir tiga bulan bagi beg berjenama Kate Spade berharga $200 yang telah dibayarnya, berkata selama ini beliau berurusan dengan Cik Nurazlin sahaja menerusi Facebook.

'Tetapi apabila beg yang dijanji akan tiba pada akhir bulan lalu tidak timbul-timbul, Cik Nurazlin pula tiba-tiba mengumumkan yang perniagaan itu telah diambil alih oleh peniaga Cik Hamidah. Saya agak terkejut,' katanya.

Menurut Cik Yasmin, mereka tidak menghubungi beliau atau memberitahu bila begnya akan tiba.

Cik Aida Mahmud pula, yang mendakwa mengenali Cik Nurazlin secara peribadi, menyifatkan sikap 'lepas tangan'nya setelah menyerahkan perniagaan kepada orang lain sangat mengecewakan.

Difahamkan ekoran menghadapi tekanan selepas isu itu mendapat perhatian dan dibincang dengan meluas di Facebook, beberapa pelanggan telah mula mendapat wang mereka semula semalam.

No comments:

Posting Terkini