KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dikatakan anggota kumpulan pengganas Al-Qaeda dilaporkan pernah bekerja di Malaysia selama empat tahun sebelum identitinya diketahui apabila dia ditahan di Jerman baru-baru ini.
Pihak berkuasa Malaysia telah dimaklumkan menyusuli tangkapan warga Jerman keturunan Turkey itu. Pemeriksaan menunjukkan suspek berusia 31 tahun itu pernah bertugas sebagai seorang jurutera di sebuah kilang kereta di Pahang.
Dia dikatakan menjadi orang tengah bagi memindahkan dana dari Malaysia kepada kumpulan pengganas di seluruh negara, termasuk Al-Qaeda, Jemaah Islamiyah (JI) dan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Sumber berkata dia mempunyai permit pekerjaan sah semasa berada di Malaysia. Semasa ditangkap dia masih digajikan oleh kilang kereta yang mula beroperasi pada awal 2005 itu.
Sumber itu berkata penangkapan warga Jerman itu mungkin satu permulaan.
'Ini bukan satu perkara baru. Terdapat kes lain di mana suspek pengganas asing bekerja di sini. Bilangan mereka yang berjaya ditangkap adalah tinggi. Ramai antara mereka ditangkap oleh agensi risikan asing selepas mereka meninggalkan Malaysia,' kata sumber itu.
Lelaki itu dilaporkan sering berulang-alik ke Jerman dan ditangkap pada kali terakhir dia pulang ke sana Mac lalu.
Beberapa hari selepas penangkapannya, pihak berkuasa Britain menahan beberapa suspek di negara itu.
Media Britain melaporkan daripada 12 lelaki yang ditahan itu, 11 adalah warga Pakistan.
Walaupun kesemua lelaki itu telah dibebaskan tanpa dikenakan sebarang dakwaan, kerajaan Britain mendakwa operasi tersebut berjaya membongkar satu rancangan besar pengganas untuk menyerang negara itu.
Pihak berkuasa Britain menghabiskan masa selama dua minggu mencari bukti dalam beberapa serbuan yang diadakan di Greater Manchester, Liverpool dan Lancashire. -- NST.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment