Pages

Tuesday, May 5, 2009

KL DIGESA TERUS BINA JAMBATAN BENGKOK

KUALA LUMPUR: Persatuan Bekas Kastam Malaysia (Perbekas) menggesa kerajaan meneruskan pembinaan jambatan bengkok menyeberangi Selat Johor sekiranya Singapura tidak bersetuju dengan cadangan membina jambatan lurus.

Penaung Kehormat II Perbekas, Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib, berkata jambatan itu mengikut perancangan asalnya boleh dibina merentasi separuh kawasan Malaysia di Tambak Johor sehingga ke sempadan negara itu.

Katanya, pembinaan jambatan itu yang menghubungkan Tanjung Puteri di Johor dan Woodlands di Singapura boleh mengelakkan kesesakan lalu lintas teruk.

Menurutnya, pembinaan jambatan itu juga untuk kepentingan ekonomi kedua-dua negara yang membolehkan kapal kecil melalui Selat Tebrau tanpa terhalang oleh tambak selain melancarkan perjalanan darat menghala kedua-dua belah negara.

'Penggunaan Link Kedua tidak dapat mengurangkan kesesakan kerana pemandu tidak menggunakan laluan tersebut kerana dikatakan jauh.

'Perbekas berharap kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan dapat meneruskan kembali pembinaan jambatan tersebut,' katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Tan Sri Abdul Halil berkata setakat ini hanya lori dan kenderaan berat yang banyak menggunakan kemudahan alternatif laluan kedua itu.

'Jambatan bengkok pastinya akan menjadi lambang negara dan membantu memudahkan kemasukan pelancong asing, di samping kedudukannya yang strategik dengan Singapura sebagai pusat perdagangan antarabangsa,' katanya.

Beliau menambah kesesakan di Tambak Johor bukan sahaja menyusahkan pelancong, pemandu kereta, malah petugas seperti kastam, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kesihatan.

'Kesesakan di laluan tersebut boleh mengganggu proses pengurusan pembayaran, kutipan cukai, pemeriksaan dan pengawasan antara pegawai kerajaan dengan orang awam,' katanya.

Pembinaan jambatan bengkok itu merupakan cetusan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang bernilai RM600 juta ($250 juta) bagi menggantikan Tambak Johor yang dibina pada 1924.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad, berkata beliau mencadangkan projek jambatan lurus dapat dilaksanakan menghubungkan Malaysia dan Singapura. -- Utusan Malaysia, Bernama.

No comments:

Posting Terkini