Pages

Tuesday, April 7, 2015

Hadi mungkin bentang RUU hudud hari ini


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan membentangkan rang undang-undang persendirian bagi membuka laluan ke arah pelaksanaan hudud di Parlimen hari ini.

Rang undang-undang bagi untuk meminda akta mahkamah syariah itu dimuat dalam senarai aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun masih tidak jelas sama ada speaker akan membenarkan Hadi membentangkan rang undang-undang itu.

Ia juga kemungkinan besar tidak sempat dibahaskan kerana berada di kedudukan ke-24 dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat.


Sebelum ini, menteri undang-undang Nancy Shukri dilaporkan sebagai berkata sukar untuk sebuah rang undang-undang persendirian dibaca kerana kerajaan mempunyai beberapa lagi rang undang-undang untuk dibentang.

Jika gagal dibentang dalam sidang kali ini, ia dijangka dibawa ke sidang akan datang bermula 16 Mei depan.

Selain mahu menambah bidang kuasa mahkamah syariah, pindaan itu antaranya mahu menggantikan Seksyen 2 Akta Mahkamah Syariah dengan peruntukan:

"Mahkamah syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Senarai 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan."

Cadangan pindaan itu juga memasukkan peruntukan bahawa mahkamah syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah yang dinyatakan, "sesuai dengan kehendak syariah Islam".

Mahkamah syariah sekarang ini diperuntukkan hukuman maksimum tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam sebatan.

Selain 21 undi daripada partinya, PAS dilihat meletakkan harapan kepada anggota Parlimen beragama Islam, termasuk Umno dan PKR untuk menyokongnya.

No comments:

Posting Terkini