Pages

Wednesday, November 27, 2013

Peserta demo kepung beberapa lagi bangunan kerajaan Thai

BANGKOK: Penunjuk perasaan antikerajaan Thailand semalam mengepung beberapa lagi bangunan kerajaan di Bangkok dalam percubaan mahu menggulingkan kerajaan sedang Perdana Menteri, Cik Yingluck Shinawatra, menghadapi usul tidak yakin di parlimen dan memberi amaran tentang "pemerintahan perusuh".
Polis juga mengeluarkan waran tangkap terhadap ketua penunjuk perasaan, Encik Suthep Thaugsuban, mantan anggota parlimen daripada parti pembangkang, Parti Demokrat, yang memimpin tindakan menggempur bangunan Kementerian Kewangan kelmarin.
Namun, pihak polis berkata Encik Thaugsuban tidak akan ditangkap semasa perhimpunan sebagai sebahagian ikrar mereka mengelak pertempuran dengan penunjuk perasaan.
Berpuluh ribu penunjuk perasaan berhimpun menentang Cik Yingluck dan abangnya, Encik Thaksin Shinawatra, dalam tunjuk perasaan jalanan terbesar sejak 2010.
Penunjuk perasaan mengepung bangunan kementerian Dalam Negeri, Pertanian, Pengangkutan serta Sukan dan Pelancongan.

Pergolakan itu menimbulkan kebimbangan antarabangsa dan kekhuatiran keganasan jalanan baru akan berlaku di negara yang sudah beberapa kali dicemar kegelisahan politik sejak para jeneral yang setia kepada institusi diraja menggulingkan Encik Thaksin dalam rampasan kuasa pada 2006.
Encik Thaksin mendapat sokongan kuat daripada golongan kelas pekerja di bandar dan masyarakat luar bandar tetapi dibenci golongan pertengahan dan elit, yang menuduhnya sebagai tidak berakhlak dan ancaman kepada institusi diraja.
Selain bangunan Kementerian Dalam Negeri, kebanyakan bangunan kerajaan yang dikuasai penunjuk perasaan tidak mempunyai ramai pengawal keselamatan.
Tetapi tahap keselamatan di jalan-jalan Bangkok telah diketatkan sejak Akta Keselamatan Dalam Negeri diluaskan lewat kelmarin.
Akta yang diluaskan itu memberi pihak berkuasa kuasa tambahan menyekat jalan, mengenakan perintah berkurung, melarang perhimpunan diadakan dan melakukan pemeriksaan.
Menambah kepada ketegangan di ibu kota Thailand itu, sebuah bom tangan yang tidak diletupkan telah ditemui di luar pejabat Parti Demokrat di Bangkok semalam. - AFP.

No comments:

Posting Terkini